KUALA LUMPUR: Tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahan pemikiran Kassim Ahmad tidak boleh dilihat sebagai halangan untuk mengambil tindakan terhadap tokoh pemikir aliran anti hadis itu.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihak berkuasa agama sewajarnya perlu bertindak segera kerana umum mengetahui pemikiran Kassim itu telah dikategorikan sebagai sesat.

"Hanya kerana beliau mendapat ruang disokong oleh Tun Mahathir sebagai bekas PM tidak bermakna pihak berkuasa agama tidak boleh menyanggah Kassim dan Mahathir dan mengambil tindakan jika mereka terus berdegil .

"Mereka berdua yang sudah lanjut usia serta golongan yang berpemikiran yang sama mungkin tidak mahu bertaubat dari pegangan yang sesat ini , tetapi untuk membiarkan pemikiran ini menyebar dalam bentuk penerbitan dan wacana terbuka akan menimbulkan kekeliruan yang lebih parah dikalangan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan.

Berikut kenyataan penuh beliau....

Kenyataan Dr. Mahathir  mempertahankan Kassim Ahmad sebagai bukan berpemikiran anti hadith adalah berkonotasi bahawa tidak mengapa berpegang kepada pendapat yang salah mengenai kedudukan Rasulullah s.a.w. selagi tidak ada pihak yang boleh menjawab balas hujah Kassim.

Pemikiran yang cuba dibawa oleh Kassim itu telah dikategori sebagai sesat oleh ulama dan pemikir Islam.Namun Mahathir pula berpendapat Kassim yang mempersoalkan perkara pokok dalam Islam  iaitu syahadah terhadap Rasulullah s.a.w sebagai tidak termasuk dalam syahadah terhadap Allah SWT itu tidak salah . Pegangan ini bagi beliau adalah pendapat Kassim yang seharusnya diterima selagi tidak dihujah sebaliknya.

Kami merumuskan Mahathir berpendirian  selagi tidak ada hujah yang boleh menjawab pegangan Kassim , maka beliau menganggap Kassim benar dan tidak mengapa jika pemikirannya itu disebar luas.

Kami berpendirian sudah sampai masanya pihak berkuasa agama Islam dibawah JPM , Majlis Fatwa Kebangsaan , Jabatan Mufti Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri mengeluarkan pendirian muktamad terhadap pemikiran Kassim Ahmad .

Dengan membisu JAKIM dibawah Menteri Hal Ehwal Islam JPM yang dipertangungjawabkan mengenai agama Islam akan dilihat menyetujui aliran pemikiran Kassim yang dipertahan oleh Mahathir.

Hanya kerana beliau mendapat ruang disokong oleh Tun Mahadhir sebagai bekas PM tidak bermakna pihak berkuasa agama tidak boleh menyanggah Kassim dan Mahathir dan mengambil tindakan jika mereka terus berdegil .

Mereka berdua yang sudah lanjut usia serta golongan yang berpemikiran yang sama mungkin tidak mahu bertaubat dari pegangan yang sesat ini , tetapi untuk membiarkan pemikiran ini menyebar dalam bentuk penerbitan dan wacana terbuka akan menimbulkan kekeliruan yang lebih parah dikalangan masyarakat.

Kami tidak bersetuju diadakan debat terbuka dengan Kassim kerana masyarakat Islam sudah cukup terdedah dengan pelbagai pemikiran yang salah yang terpaksa dihujahbalas. Pihak Abim sendiri pernah mengadakan muzakarah dengan Kassim mengenai hal yang sama , namun jelas , beliau terus angkuh dan tidak  menerima kesalahan pemikirannya.

Adalah lebih baik pihak berkuasa agama memanggil Kassim untuk berdepan secara tertutup dan mendengar hujahnya bagi merumuskan secara jelas pendirian beliau. Jika teguran terhadapnya maseh tidak diterima oleh beliau maka penjelasan yang berterus terang perlu disebarkan kepada masyarakat awam agak kekeliruan tidak lagi timbul,

Kami ingin menyatakan kekesalan kami kepada Mahathir yang nampak bersungguh mahu mempertahankan pendirian Kassim. Padahal implikasi dari pegangan Kassim mengenai Islam di negara ini sangat berat dari segi autoriti dan perundangan Islam.

Sistem "kasta paderi " yang didakwa Kassim supaya ditolak , bermakna beliau  menolak autoriti Majlis Fatwa yang terdiri dikalangan mufti yang berkelayakan dan seluruh agensi agama yang ada di negara ini yang dinaungi oleh Raja-raja Melayu.

Mahathir sendiri tidak sepi dari kontroversi mengenai pegangannya terhadap autoriti agama bila beliau pernah mempersoalkan wibawa ulama yang mengeluarkan hukum haram wanita Islam terlibat dengan pertandingan Ratu Cantik ( pada ketika itu acara Miss Malaysia Petite 1977 )  sehingga bertembung dengan Mufti Selangor , Dato' Ishak Baharom , dan berakhir dengan Mufti tersebut dipecat pada Julai 1997 atas kehendak Mahathir sendiri.

Lebih jauh dari itu Kassim mendakwa bahawa orang Islam tidak perlu mendewa-dewakan Rasulullah s.a.w kerana menganggap Baginda hanya manusia biasa yang boleh dipertikaikan segala percakapannya.

Dengan mempertikai seluruh disiplin perawi hadith oleh ulama , bererti seluruh institusi hukum dalam Islam boleh ditolak dengan mentah-mentah oleh Kassim , termasuk wibawa institusi agama yang ada di negara ini.

Apakah Mahathir cenderung untuk bersetuju dengan pendapat ini dan mempertahankan Kassim bahawa beliau tidak bersalah mencabar semua pendapat ulama walaupun Kassim bukan ahli dalam hal ilmu agama Islam.

Kami ingin memngingatkan kepada pihak berkuasa agama agar jangan sampai muncul secara absah aliran pemikiran Faham Ingkar Sunah yang berkembang di Indonesia sejak awal 1980an . Ia timbul dari ketidak tahuannya tentang status Sunah dalam beragama dan tentang fungsi Sunah  terhadap al-Qur’an.

Semangat belajar mereka hanya pada  al-Qur’an. Tetapi  sayangnya mereka sangat minimal penguasaan ilmu-ilmu dasar untuk memahami al-Qur’an seperti bahasa Arab,  tata bahasa dan  sastranya, ilmu-ilmu Tafsir dan lain-lain.

Yang jelas kebanyakkan ide-ide penolakan  Sunah dipindah dari orientalis yang sengaja menghembuskan polimik  di dunia Islam untuk menyesatkan umat. Inti  pandangan mereka  bahwa dalam beragama  hanyalah al-Qur’an karena kesempurnaannya sedangkan Sunah atau hadis dipandang sebagai dongeng yang diciptakan oleh sebagian umat Islam belakangan.

Mereka mendakwa mengikuti Hadith akan menjadi penyebab perpecahan umat yang   melemah dan menghancurkan umat.

Kami mengesa pihak berkuasa agama tidak membiarkan masyarakat Islam terheret  kedalam polimik yang berterusan apabila media mengambil kesempatan mensensasikan isu ini. Tindakan segera perlu diambil agar pegangan umat Islam tidak tergugat dengan pemikiran dan faham yang menyimpang dari asas Islam yang sahih dan benar.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden Mapim

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment