KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) hari ini menyahut cabaran debat yang dilontarkan pemikir kontroversi Kassim Ahmad seperti yang dilaporkan media semalam.

Naib presidennya Hasri Harun berkata, pada masa sama Kassim Ahmad juga perlu bersedia mengubah serta berhenti mengeluarkan pandangan tidak berasas mengenai Rasullulah S.A.W, ulama’, dan tradisi keilmuan Islam.

"Selagi perkara ini tidak disiasat oleh pihak berkuasa agama, pandangan yang diutarakan termasuk menyatakan rambut itu bukan aurat serta mempertikai syahadah kenabian telah memperlihat seolah-olah mendapat “endorsement” dari pihak kerajaan."

"Jika terbukti dan diputuskan idea dan pemikiran Kasim Ahmad bercanggah dengan Islam maka beliau perlu berhenti menyebarkan pandangan beliau dan bertaubat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Hasri berkata Abim pada 28 Jun 1986 pernah mengadakan muzakarah bersama Kassim Ahmad di Universiti Islam Antarabangsa, Petaling Jaya.

Menerusi dialog tersebut katanya, anggota panel Abim yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden ABIM (pada ketika itu) Dr Abdul Halim El-Muhammady telah menjawab satu persatu dakwaan kontroversi yang dilontarkan oleh beliau yang secara jelas bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah.

"Sepanjang dialog tersebut, beliau (Kassim Ahmad) gagal menjawab serta mengemukakan hujah di atas setiap persoalan yang dikemukakan," kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Abim juga telah menerbitkan sebuah buku bertajuk “Islam dan Al-Hadith : Dialog Bersama Kassim Ahmad – Satu Analisis ke atas usaha-usaha merosakkan peribadi dan autoriti Rasulullah S.A.W.” cetakan 1991 dan 1995.

Buku tersebut telah membentangkan hujah dari segi metadologi, sumber autoriti, dan sejarah pengumpulan Hadis serta beberapa sudut lain bagi menolak buku beliau “Hadis: Satu Penilaian Semula”.

Tambah beliau, sikap angkuh Kassim Ahmad telah mencerminkan kerendahan nilai diri sendiri memandangkan tiada perkara yang memalukan nilai intelektual seseorang yang dijulang tinggi dalam masyarakat, apabila seorang sarjana itu tidak meraikan pandangan pihak lain dalam siri dialog.

"Justeru, perdebatan dengan individu sebegini sememangnya tidak akan memberi apa-apa makna atau mencapai sebarang tujuan yang positif dalam mencari kebenaran."

Beliau juga mendesak kerajaan khususnya Jabatan Agama memainkan peranan untuk mengambil tindakan sepertimana yang dilakukan ke atas ajaran sesat lain dalam negara kerana pemikiran beliau secara jelas berlawanan dengan prinsip ajaran Islam.

Semalam Kassim Ahmad yang dilihat sebagai tokoh pemikiran anti hadis, mencabar pihak yang tidak bersetuju dengan pandangannya dalam "Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian" untuk berdebat.

Dalam seminar di Putrajaya Ahad lalu itu, Kassim mendakwa bahawa Islam sebenar di negara ini telah diseleweng kerana mengikut satu sistem “kasta paderi” yang dipanggil ulama, umat Islam seperti mendewa-dewakan Nabi Muhammad SAW dengan syahadah kedua dan rambut bukanlah aurat wanita.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment