PADANG TERAP: Hampir 2,000 penduduk yang terdiri daripada penoreh getah keluar beramai-ramai di Pekan Naka di sini semalam bagi menuntut kerajaan segera bertindak mengatasi masalah harga getah yang kini jatuh mendadak.

Mereka adalah sebahagian rakyat Malaysia dan rakyat Kedah khususnya yang pendapatan mereka terjejas teruk akibat penurunan mendadak harga getah sejak beberapa bulan lalu.

Himpunan itu dinamakan sebagai Himpunan Sengsara Penoreh Getah, sebagai menyatakan luahan tekanan ekonomi yang terpaksa ditanggung.

Pelbagai spanduk turut dibawa termasuk yang bertulis "Harga barang naik, harga getah turun", "BN menang rakyat senang?" dan "Getah turun ape cerita, terima kasih BN".

Dalam pada itu, mereka turut mendesak kerajaan menetapkan harga lantai getah kepada RM4 sekilogram bagi meringankan beban penoreh getah.

Ketua Pemuda PAS Malaysia Suhaizan Kaiat yang turut serta dalam himpunan itu berkata, sebahagian besar penoreh getah kini terpaksa ikat perut kerana pendapatan bulanan mereka terjejas.

Pada kebiasaan kata Suhaizan, pendapatan bagi mereka yang mengambil upah menoreh dua relung getah adalah sekitar RM300 hingga RM400 sebulan dan ianya masih dibawah paras kemiskinan.

"Itu ketika harga getah tinggi, dan mereka menoreh 6 hari seminggu jika tidak hujan. Kalau musim hujan atau kemarau, pendapatan mereka kurang dari itu."

"Pada tahun 1974 harga sekati getah adalah 25 sen, sama dengan harga sekati gula pada waktu itu yang juga 25 sen. Sekarang harga gula RM2.85 sekilogram manakala harga getah skerap RM2.40."

"Beza harga dengan barangan keperluan itu tinggi, "katanya.

Bagi Ketua Pemuda PAS Kedah Nasir Zakaria pula, kerajaan perlu segera bertindak menangani kemelut harga getah ini.

"Pemuda Kedah mengingatkan bahawa mungkin Demonstrasi Baling 1974 yang berlaku 40 tahun dahulu akan berulang jika kerajaan tidak bertindak segera," kata beliau.

Himpunan semalam adalah kali ketiga diadakan. Sebelum ini himpunan serupa diadakan di beberapa tempat termasuk di Baling.

Himpunan tersebut semalam turut disokong NGO Pertubuhan Angkatan Belia Bersama Ulama (Panglima) di mana presidennya, Sulaiman Ibrahim turut hadir.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment