KUALA LUMPUR: Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Pemuda PAS Malaysia mengalu-alukan pihak polis untuk mencari bukti yang dapat mengaitkan perhimpunan malam kelmarin dengan usaha mengganggu kesejahteraan awam.

Pengarahnya, Noorazmir Zakaria berkata, polis harus menunjukkan bukti yang kukuh berhubung dakwaan peserta himpunan yang membantah kenaikan kos sara hidup menimbulkan huru-hara.

Ini kerana katanya, sepanjang pemantauan Juham malam kelmarin, perhimpunan bermula dan berakhir dengan aman dengan semua peserta memberi fokus kepada isu kenaikan kos sara hidup yang diprotes.

"Juham minta polis cari bukti yang kukuh jika benar terdapat peserta himpunan yang menimbulkan kekacauan dan huru-hara pada malam itu."

"Sepanjang pemerhatian Juham, perhimpunan berlangsung aman dari awal sampai akhir dan peserta memang duduk dan bantah dan fokus kepada isu kenaikan harga barang."

"Ucapan-ucapan malam itu memang mengenai isu kenaikan kos sara hidup dan tidak ada kena-mengena langsung dengan usaha menggulingkan kerajaan seperti yang didakwa," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh mengumumkan penubuhan pasukan khas bagi menyiasat kes berhubung perhimpunan di Dataran Merdeka malam kelmarin.

Polis mendakwa perhimpunan tersebut mengganggu acara sambutan malam tahun baru.

Noorazmir juga berkata, Juham bersedia memberikan khidmat guaman jika terdapat peserta perhimpunan yang dipanggil untuk membantu siasatan polis atau didakwa berhubung himpunan itu.

"Jika ada sebarang permohonan daripada pihak polis untuk membantu siasatan atau peserta himpunan dipanggil soal siasat, kami bersedia memberikan kerjasama dan mengiringi peserta yang dipanggil polis," katanya.

Sumber Berita Dari Harakahdaily

No comments:

Post a Comment