PKR Selangor desak PKNS kembalikan Othman, Norita

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK

Adun Batu Caves, Amiruddin Shari (tengah) bersama Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid (kiri) menyerahkan memorandum bersama jambangan bunga kepada Pegawai Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim di ibu pejabat PKNS, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 22 Januari, 2014.Adun Batu Caves, Amiruddin Shari (tengah) bersama Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid (kiri) menyerahkan memorandum bersama jambangan bunga kepada Pegawai Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim di ibu pejabat PKNS, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 22 Januari, 2014.PKR Selangor hari ini mendesak pengurusan tertinggi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengembalikan Pengurus Besar PKNS, Datuk Othman Omar dan bekas setiausaha kerja perbadanan itu, Norita Mohd Sidek kepada jawatan asal mereka agar siasatan lanjut dapat dijalankan.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani dari PKR berkata, Norita berdepan dengan penganiayaan setelah ditukarkan ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor tanpa melalui siasatan lanjut.

"Jika ditukarkan ke tempat lain bermakna hukuman dijatuhkan dan ini satu penganiayaan. Ini bukan melibatkan kewangan dan Norita perlu dimaklumkan apa kesalahannya. Siasatan dalaman perlu memberikan keadilan. Mengapa tindakan diambil awal seolah-olah sudah menjatuhkan hukuman? Ini tidak boleh berlaku."

"Prosedur dalaman lembaga disiplin tidak betul. Sesiapa sahaja yang bercanggah dengan undang-undang, saya tidak boleh berkompromi. Saya yakin ini satu penganiayaan," katanya ketika menyerahkan memorandum bantahan di Ibu Pejabat PKNS di Shah Alam, hari ini.

Media pada Isnin melaporkan Othman dan Norita ditukarkan serta-merta ke pejabat SUK dan dilarang menghadiri mensyuarat ahli lembaga pengarah PKNS.

Abdullah berkata, PKNS tidak seharusnya dipersalahkan atas kemelut yang sedang berlaku dan pihak yang teraniaya juga boleh mengambil tindakan mahkamah sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat.

Katanya, Othman tidak wajar dipersalahkan atas keputusan untuk tidak meneruskan kedudukan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai ahli lembaga pengarah PKNS kerana kuasa terletak di tangan menteri besar.

“Kedudukan Azmin sedikit berbeza. Ini tatakelola yang tidak sepatutnya berlaku kerana kesalahan diletakkan kepada pengurus besar berdasarkan keputusan menteri besar dan hukuman dijatuhkan kepada seseorang untuk bertanggungjawab."

“Saya tidak nampak perkara ini salah PKNS. Jawatan Azmin perlu segera dikembalikan kerana kontraknya tamat pada 2015. Ini namanya melucutkan jawatan. Saya tidak nampak pelucutan jawatan Azmin ini sebagai satu usaha mengemaskini pentadbiran kerana beliau adalah ahli lembaga pengarah,” katanya.

Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) itu turut bersetuju dengan kenyataan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa pengurus besar tiada kuasa untuk melucutkan jawatan ahli lembaga pengarah.

“Saya bersetuju dengan Anwar. Mana mungkin pengurus besar melucutkan jawatan ahli lembaga pengarah. Luar biasa dan tidak masuk akal. Penganiayaan terhadap Azmin adalah satu contoh tidak boleh diberikan toleransi."

“Kembalikan jawatan Azmin dan kembalikan Norita di tempatnya. Othman akan bersara hujung bulan ini,” katanya dalam bantahan itu yang turut dihadiri seramai 20 orang.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Caves, Amiruddin Shari, berkata nota sokongan yang dihantar kepada kepimpinan tertinggi PKNS hari ini adalah bagi menyatakan sokongan kepada kakitangannya berhubung keprihatinan PKR.

Katanya, pendirian PKR Selangor jelas bahawa pentadbiran kerajaaan negeri perlu meneliti beberapa perkara dan tidak menjadikan penjawat awam di Selangor sebagai mangsa.

“Hari ini kami menghantar satu nota sokongan kepada seluruh pegawai dan kakitangan PKNS sebagai tanda pendirian sebenar PKR Selangor."

“Ada beberapa aspek yang perlu diteliti semula oleh pentadbiran kerajaan negeri supaya dapat memberitahu kepada warga PKNS, kami mempertahankan mereka sebagai pekerja meliputi penjawat awam di Selangor."

“Saya berharap perkara ini dapat memberi wajah sebenar keadilan yang dibawa PKR. Penting kepada penjawat awam untuk disampaikan supaya tidak timbul persepsi negatif terhadap PKR mengenai apa perjuangan dan tindakan yang diambil,” katanya.

Sumber Berita Dari The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment