KLANG: Kerajaan Selangor mengajak tiga badan profesional menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berikutan penamatan khidmat Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata badan itu ialah Transparensi Antarabangsa Malaysia (TIM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak Integriti Korporat.

Beliau berkata hasil siasatan akan didedah kepada umum secepat mungkin bagi menyelesaikan kemelut PKNS yang menimbulkan pelbagai kontroversi kebelakangan ini.

“Kes ini melibatkan isu integriti yang berlaku pertikaian berhubung surat yang dikeluarkan. Saya minta Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk memanggil pihak integriti, TIM dan SPRM meneliti dokumen yang dikeluarkan kerajaan negeri dan PKNS."

“Dalam masa terdekat selepas membuat kajian itu, beliau (SUK) boleh membuat pengumuman apa yang berlaku."

“Disebabkan kes ini mempunyai kaitan politik maka saya minta Datuk Mohammed Khusrin untuk mengendalikan perkara berkenaan supaya memberi keadilan kepada semua,” katanya pada sidang media selepas melawat kilang sarung tangan, Top Glove di sini, hari ini.

Abdul Khalid berkata hanya Menteri Besar sahaja yang berhak melakukan pemecatan atau pelantikan jawatan seseorang sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS.

Beliau berkata, minit mesyuarat Exco pada 13 November sehingga 4 Disember tahun lalu juga akan didedahkan hari ini atau selewat-lewatnya petang esok melalui kenyataan media.

“Saya akan dedahkan malah pagi tadi saya sudah minta setiausaha kerja untuk menyenaraikan dokumen untuk disebarkan,” katanya lagi.

Kerajaan Negeri semalam memindahkan Datuk Othman Omar dan Setiausaha Kerja PKNS, Norita Mohd Sidek serta-merta ke SUK sehingga siasatan selesai.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment