Menggempur pemikiran MACAI....!!!

oleh Zulkifli Yahaya
 

Almarhum Dato’ Fadzil Noor dalam ceramahnya gemar menggunakan istilah ‘pecacai’ yang merujuk kepada golongan yang menjadi kuli atau barua politik pihak tertentu. Mereka sentiasa mengikut telunjuk pihak tertentu dan mempertahankan segala tindak tanduk pihak yang mereka sokong itu.

Istilah pecacai kemudiannya diringkaskan menjadi macai. Istilah ‘macai’ begitu popular dalam alam siber bagi merujuk kepada penyokong tegar parti politik yang akan membela, mempertahan, mengampu dan menjilat pemimpin dalam apa saja isu. Sekalipun secara terang-terangan macai tersebut mempertahankan perkara yang salah pada parti dokongannya. Istilah macai tidak ada dalam kamus, namun selepas ini pakar-pakar bahasa boleh berbincang sama ada perlu memasukkannya dalam perbendaharaan Bahasa Melayu.

Walaupun macai wujud di kedua-dua belah pihak parti mendokong kerajaan (BN) atau Pakatan Rakyat, tetapi apabila disebut macai semua pihak lebih senang untuk menganggap ia berada di pihak BN. Memang lumrah di Malaysia para pengampu dan penjilat, yang mengharap habuan duniawi dari usaha membodek parti politik yang memerintah hanya berada di sebelah sana. Bahkan ramai antara mereka yang dibayar hanya untuk tugasan menjadi macai, khususnya macai di alam siber.
 
Oleh kerana identiti sebenar macai yang wujud di alam siber boleh disembunyikan, maka mereka bebas memfitnah dan membuka aib orang lain semata-mata ingin mengurangkan sokongan rakyat terhadap pihak lawan mereka. Hujah dangkal bersulam maki hamun adalah lumrah, kerana mungkin bagi mereka apabila bertugas sebagai macai sepenuh masa maka perhitungan halal, haram, dosa, pahala - ditolak ke tepi. Apa yang penting habuan duniawi.

Di luar alam siber, aliran pemikiran macai sama sahaja. Sekalipun mereka dikenali umum, mereka tidak malu untuk mengeluarkan kenyataan dangkal yang menyerlahkan kejahilan diri. Tidak takut memfitnah sekalipun dosa memfitnah adalah sangat besar.

Seorang bekas menteri yang merupakan ahli politik wanita terkenal bakal diheret ke mahkamah berhubung kenyataan fitnah yang dibuat terhadap pemimpin utama PAS. Dalam fitnah terbaru yang dibuat melalui tulisannya dalam sebuah akhbar harian, perempuan ini menyebut “Puak ini (Al-Maunah) jelas terpengaruh dengan ajaran dibawa sebuah parti yang kononnya memperjuangkan Islam tetapi sebaliknya telah mengajar untuk membenci kerajaan, para pemimpin serta polis dan tentera yang dianggap kafir, taghut, zalim dan harus diperangi.”

Beliau yang bertaraf agamawan Umno memulakan fitnah kononnya ada kumpulan yang akan menggulingkan kerajaan pada 31 Disember 2013. Komennya, ramai masih tertanya-tanya: apakah yang mendorong mereka hingga tergamak mahu mengguling kerajaan dengan cara demikian?

Jika orang yang berlatarbelakang agama tidak takut untuk melakukan fitnah, apalah yang diharapkan kepada para macai untuk tidak melakukan perkara yang dikutuk oleh Allah SWT.

Menarik rasanya kalau ada ahli akademik membuat kajian terhadap aliran pemikiran macai dan kesannya terhadap pola politik tanahair. Tanpa kajian, saya merasakan bahawa factor utama Malaysia tidak pernah bertukar kerajaan adalah kerana berfikir cara macai ini masih mendominasi pemikiran para pengundi Melayu.

Mereka takut untuk mengalahkan BN kerana tak mahu hilang kuasa Melayu, takut tukar kerajaan kerana khuatir Malaysia tiada kerajaan maka jadi macam Somalia suatu masa dulu, tak mahu Pakatan menang sebab Cina akan jadi Perdana Menteri, hak istimewa Melayu terhapus dan raja-raja dipaksa turun takhta. Jika Pakatan menang negara akan muflis dan huru hara. Jika pembangkang menang maka negara jadi miskin kerana pembangkang tidak ada duit. BN perlu dikekalkan kerana banyak berjasa. Sekolah, hospital, jalanraya, dewan, padang futsal, balai polis, bomba; semua BN punya. Harga barang naik tak jadi masalah, tak mampu beli banyak beli sikit.

Sekali sekala pemikiran macai ditambah tahap kedunguannya oleh para pemimpin mereka. Keluaran lalu saya menyenaraikan kenyataan dangkal para pemimpin BN, khususnya berhubung kenaikan harga barang. Baru-baru ini Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek menambah koleksi kenyataan ala macai dengan berkata, rakyat menyokong kenaikan harga barang kerana kementeriannya tidak menerima apa-apa aduan. Ketua Umno bahagian Kuantan Datuk Zaiton Mat pula menyeru rakyat Malaysia yang tidak suka pada kerajaan BN supaya keluar negara. Kenyataannya merujuk kepada protes rakyat terhadap kenaikan harga barangan.

Kita kena terima hakikat bahawa semua pemikiran macai itu masih melekat dalam benak pemikiran sebahagian orang Melayu dalam apa keadaan sekalipun. Bagi golongan tersebut, Umno dan BN sudah jadi macam agama anutan mereka yang tidak boleh ditukarganti.

Inilah cabaran besar Pakatan yang perlu diselesaikan jika mahu ‘menggulingkan’ kerajaan dengan jayanya dalam PRU14 nanti. Di samping kita bercakap perihal isu besar yang melanda negara, isu-isu kecil ala pemikiran macai yang melekat kukuh dalam benak pemikiran orang Melayu ini mesti dihapuskan. Sementara golongan berusia dalam Umno yang tegar berfikir ala macai pupus begitu sahaja sedit demi sedikit kerana panggilan Ilahi, golongan muda mereka mesti diubah agar tidak berfikir cara macai; sekurang-kurangnya berlaku alihan (swing) sebanyak 7 peratus, insya Allah khurafat bahawa tiada parti lain layak memerintah selain Umno dapat dihapuskan.
 
Sumber Berita Dari Blog KedahLaNie

No comments:

Post a Comment