Khalid Samad: Murtad bukan sebab baca Bible

 
Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad percaya orang Islam terjebak dengan kemurtadan disebabkan "hasil sikap orang Melayu-Islam sendiri yang tidak memberikan contoh fahaman Islam yang baik dan bukan disebabkan mereka membaca Bible".

Perkara tersebut antara perkara yang akan dibahaskannya dalam perdebatan dengan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar dalam perdebatan hujah bertajuk "Isu Kalimah Allah Dari Perspektif Perundangan" anjuran akhbar Sinar Harian 27 Januari depan.

"Murtad bukan disebabkan membaca Bible tetapi disebabkan penolakan (Islam) hasil sikap daripada orang Melayu Islam itu sendiri."

"Antaranya fatwa seorang mufti yang menyatakan halal darah bagi orang yang menyertai himpunan TURUN."

"Kita sendiri dengar pemuda Melayu berkata 'teruknya Islam, turun sikit darah kita halal.... Inilah faktornya. Bukan kerana membaca Bible."

"Orang Melayu yang tidak memberi contoh yang baik mengenai apa ajaran Islam yang sebenarnya," kata Khalid dalam sidang medianya hari ini.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat berkata parti itu komited untuk menyatakan mengenai keadilan Islam sebagai "daya penarik bukan daya penolak".

Mengulangi penerimaan cabaran debatnya dengan Noh Omar, Khalid berkata beliau akan berdebat dengan Noh atas tajuk tersebut dan datang ke situ dengan sikap keterbukaan kerana menerimanya tanpa sebarang syarat.

Katanya, tujuannya debat itu nanti bagi membuktikan bahawa kalimah 'Allah' "bukan eksklusif untuk Islam sahaja dan haram untuk bukan Islam".

"Inilah matlamat saya nanti," katanya.

Sumber Berita Dari MalaysiaKini

No comments:

Post a Comment