'Kerana tudung, penyanyi diarah turun pentas'

Setelah 12 tahun bergelumang sebagai anak seni, penyanyi Marinatasha Isnariah Mustapar bersuara lantaran dikriminasi yang dihadapi.

Siapa yang tidak berasa malu apabila diarahkan turun dari pentas di hadapan ratusan penonton hanya kerana kepercayaan dan pakaian mencerminkan peribadi dan agama.

"Saya rasa terhina dan malu, perkara sedemikian tak patut berlaku," kata beliau dalam dada sebak di sidang media di Shah Alam hari ini.

Ini merupakan kes ketiga tahun ini setelah graduan Mira Kamil tidak diterima bekerja di Suria KLCC kerana bertudung dan guru mualaf Choi Yi Shan diarah membuka tudung beliau.

Marinatasha yang sepatutnya melakukan persembahan di majlis makan malam tahunan sebuah syarikat di Kuala Lumpur pada 18 Januari baru-baru ini diarah menghentikan persembahan.

Beliau malah mendakwa diminta turun dari pentas oleh seorang pegawai kanan syarikat itu kerana memakai hijab.

Buat laporan polis

Beliau digantikan oleh penyanyi lain dan hanya dibenarkan menjadi penyanyi latar sahaja selepas itu.

"Dia (pegawai itu) mengatakan saya tidak sepatutnya memakai tudung."

"Semasa mengadakan raptai dengan pemuzik pada 16 Januari lalu, wakil syarikat yang hadir tidak pernah mengisukan hal tudung," kata beliau.

Marinatasha mendakwa beliau turut dimarahi selepas persembahan itu tetapi mendapat bayaran seperti yang dijanjikan.

Satu laporan polis juga telah dibuat beliau pada jam 2:40 pagi Ahad di balai polis Sentul berikutan insiden itu.

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi syarikat berkenaan berhubung dakwaan itu.
 
KARYAWAN tuntut maaf

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) Datuk Freddie Fernandez menuntut syarikat itu memohon maaf atau berdepan tindakan undang-undang kerana mendisriminasi anak seni.

"KARYAWAN rasa untuk selesaikan masalah ini kami ingin jemput syarikat itu memohon maaf dan sedia tawarkan jalan penyelesaian."

"Bagi kami ia pengajaran kepada pihak lain agar tak diskriminasi artis bertudung," kata beliau.
 
Sumber Berita Dari Blog Kerengga

No comments:

Post a Comment