KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Sesyen  Kuala Lumpur semalam yang membebaskan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan lima lagi daripada tuduhan mengambil bahagian dalam perhimpunan Bersih 3.0 membuktikan bahawa peruntukan yang termaktub di dalam Akta Perhimpunan Aman 2011 bersifat autokratik dan bertentangan dengan semangat Perlembagaan yang menjamin kebebasan berhimpun.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Negeri (Adun) Batu Caves, Amirudin Shari menyeru rakyat agar tidak perlu gentar dan gerun dengan momokan pemerintah yang sering menggunakan akta tersebut untuk menakut-nakut dan menafikan hak kebebasan berhimpun yang sememangnya telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya mengalu-alukan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang melepaskan Dato' Seri Anwar Ibrahim, Saudara Azmin Ali dan empat yang lain daripada tuduhan mengambil bahagian dalam perhimpunan Bersih 3.0,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Mahkamah Rayuan minggu lalu memutuskan bahawa perintah majistret melarang perhimpunan Bersih 3.0 adalah tidak sah.

Ekoran daripada itu, Hakim Mahkamah Sesyen, Ahmad Bache memutuskan bahawa pertuduhan terhadap Anwar dan lima yang lain adalah tidak berasas.

“Melihat kepada keputusan ini yang bersifat precedent (duluan) bagi kes-kes susulan yang berkaitan, jelas sekali bahawa pihak mahkamah bertindak berasaskan tuntutan Perlembagaan yang memaktubkan hak untuk berhimpun sebagai hak asasi rakyat di negara,” kata Amirudin.

Justeru itu beliau menyifatkan penghakiman tersebut sebagai isyarat yang baik buat rakyat dan secara tidak langsung membuktikan bahawa peruntukan yang termaktub di dalam Akta Perhimpunan Aman 2011 ini bersifat autokratik dan bertentangan dengan semangat Perlembagaan yang menjamin kebebasan berhimpun.

“Rakyat seharusnya tidak perlu lagi gentar dan gerun dengan momokan pemerintah yang sering menggunakan akta tersebut untuk menakut-nakut dan menafikan hak kebebasan berhimpun yang sememangnya telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment