Kementerian Pendidikan Malaysia, berhenti perjudi masa depan kami

TESL Think Tank
Jika mahu dibayangkan masa depan sesebuah negara, kita perlu melihat kepada kualiti sistem pendidikannya. Jika mahu ditimbang sejauh mana kualiti pendidikan sesebuah negara, kita lihat pula kepada kualiti gurunya.
Manakala, jika mahu diukur kualiti guru-guru, kita perlu melihat kepada sistem pendidikan guru itu sendiri kerana faktor ini bersifat relatif, iaitu saling berkait. Namun, kemenjadian semua aspek di atas bergantung hanya kepada satu perkara iaitu kualiti pengurusan sumber tenaga manusia dalam sistem pendidikan itu sendiri. Apabila pengurusan pendidikan diimplementasi secara sistematik dan telus, ia mampu mempengaruhi keberkesanan pelaksanaan sesuatu polisi yang dirancang.
Pendidikan di Malaysia sedang menghadapi cabaran getir. Ini diakui oleh semua pihak termasuk Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila beliau begitu komited merancang dan melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Semua ini dilakukan setelah pendidikan negara dikecam teruk oleh pelbagai pihak apabila menunjukkan prestasi yang memalukan di peringkat antarabangsa melalui mekanisme pengukuran Pisa dan TIMSS di mana Malaysia berada di tangga satu pertiga terbawah, lebih rendah daripada kedudukan negara jiran seperti Singapura, Taiwan, Hong Kong malah Vietnam. Ini sangat membimbangkan walaupun pada setiap kali pembentangan bajet, sektor pendidikan menerima peruntukan paling besar tetapi hasilnya adalah mengecewakan.

Jadi, apakah penyelesaian kepada permasalahan ini datang dengan cara memperkenalkan polisi baru? Atau melalui adaptasi pendekatan negara-negara yang cemerlang pendidikannya seperti Finland, Jepun, Korea Selatan atau Singapura? Pada saya, masalah pokok yang kita hadapi adalah kegagalan pengurusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menyediakan 'good governance' bagi melaksanakan agenda yang dirancang. Biar apa pun polisi atau pendekatan baru yang diguna pakai, jika kita tidak berjaya melaksana dan menguruskannya dengan baik, maka kita gagal.
Contoh paling jelas adalah nasib kami, guru pelatih B. Ed. TESL lulusan luar negara yang sebelum ini selalu dilabel sebagai 'anak emas' KPM dan kerap diingatkan betapa bertuahnya kami kerana 'terpilih' dihantar ke luar negara melalui tajaan biasiswa.
Kami merupakan bekas guru pelatih yang menjalani pengajian di sebuah institut pendidikan guru (IPG) di Malaysia selama 3 tahun dan dihantar ke luar negara selama 3 tahun lagi dalam sebuah program ijazah berkembar antara IPG dan universiti terpilih. Pada Jun 2013, kami menamatkan pengajian untuk memperoleh segulung ijazah pendidikan. Pada waktu itu, khabar angin bertebaran mengatakan sebelum diambil bekerja, kami perlu menjalani sesi temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) yang akan dijalankan pada Ogos.
Malangnya, kami tidak dipanggil untuk menghadiri temuduga pada Ogos sebaliknya dibiarkan menunggu dengan penuh tanda tanya sehingga dipanggil temuduga di penghujung 2013. Iya, kami hanya bergantung kepada khabar angin. Biarpun kita hidup di zaman yang begitu moden di mana manusia mampu dibawa terbang merentasi benua dan maklumat dapat dikongsikan melalui satu klik di jari, tetapi KPM nampaknya lebih selesa menggunakan pendekatan khabar angin. Mereka tidak menyediakan satu sistem pengurusan yang membolehkan kami mengakses maklumat berkaitan panggilan temuduga atau penempatan kerja. Kaedah yang digunakan adalah 'tunggu sehingga dipanggil'.
Apa yang lebih mengecewakan adalah apabila kami tidak diberikan masa secukupnya untuk bersedia sebaliknya perlu segera hadir temuduga dalam masa yang singkat setelah dipanggil. Bayangkan untuk rakan yang duduk di Pantai Timur tetapi terpaksa ke Putrajaya untuk menjalani temuduga? Bagaimana pula dengan rakan yang baru-baru ini dilanda banjir? Mengapa tidak dimaklum seawal mungkin supaya mereka boleh bersedia mencari tempat penginapan sekiranya perlu? Bagaimana pula dengan penempatan pekerjaan, adakah kami akan dipanggil dan diberikan masa untuk bersedia ataupun tidak? Jika dikaji trend semasa dan pengalaman rakan-rakan terdahulu, nampak gayanya kami terpaksa sentiasa bersedia dan 'tunggu sehingga dipanggil'.
Setelah ditemuduga, penempatan kerja yang dinantikan tetap tidak kunjung tiba. Jangan kata kerja di mana, tarikh mula kerja pun langsung tidak diberitahu. Untuk mendapatkan kepastian, panggilan demi panggilan sudah dibuat tetapi jawapan yang diterima amat menghampakan iaitu 'tunggu sehingga dipanggil'.
Aduan juga dikemukan di laman sesawang KPM tetapi sehingga ke hari ini, masih tidak berjawab. Perkataan dukacita itu sendiri tidak dapat menggambarkan kehampaan dan betapa remuknya perasaan kami apabila tidak diuruskan secara profesional dan efisien. Apakah sebenarnya kami ini ada tempat dalam pelan KPM? Kami dibiarkan terpinga-pinga, dalam kegelapan daripada mengetahui nasib sendiri. Yang menghairankan, kami adalah pelajar tajaan KPM. Barisan pelajar cemerlang lepasan SPM yang menolak pelbagai tawaran biasiswa lain semata-mata demi menjadi guru bahasa Inggeris dan berkobar-kobar untuk menaikkan kualiti pendidikan negara.
Apakah KPM tidak mahu mendapat pulangan di atas apa yang mereka laburkan ke atas kami? Bukan sedikit duit rakyat yang dibelanjakan untuk mewujud dan melaksanakan program kami ini. Apatah lagi apabila melibatkan penghantaran pelajar ke luar negara. Ini amat merugikan negara. Jika beginilah caranya, apakah lebih baik kami menjadi pengamen jalanan yang walaupun mungkin tidak kaya tetapi masih mempunyai hak dan suara atas nasib mereka sendiri.
Pada waktu sama, kontrak yang kami tandatangani bersama KPM menyulitkan usaha untuk mendapat peluang pekerjaan lain. Bukan sedikit majikan yang menolak untuk mengambil kami bekerja atas dasar ini. Tambahan pula, perancangan perjalanan karier amat sukar untuk dilakukan kerana kami perlu meletakkan jawatan secara serta merta sekiranya dipanggil untuk berkhidmat oleh KPM. Ya, saya menggunakan perkataan 'sekiranya' kerana sehingga kini sejak 8 bulan lalu masih tiada ketentuan sama ada kami akan dipanggil atau tidak. Kesan ini lebih dirasai kepada mereka yang sudah berkahwin dan memerlukan wang untuk menyara keluarga. Akibat terhalang daripada mencari pekerjaan lain, kelangsungan hidup kami terganggu.
Sebenarnya, jika temuduga SPP tidak diadakan, KPM sendiri akan dapat menjimatkan banyak belanja pengurusan, mengurangkan kerenah birokrasi dan mempercepatkan proses penempatan. Apakah segulung ijazah dengan kepujian daripada universiti ternama di United Kingdom masih tidak cukup? Apakah temuduga yang pernah kami lalui dahulu untuk diterima memasuki pengajian juga tidak cukup? Apakah tempoh 2 tahun kursus persediaan, 3 tahun pengajian di universiti antara terbaik di United Kingdom dan 1 tahun pengajian akhir termasuk tempoh latihan praktikal di sekolah tetap tidak cukup membuktikan yang kami layak menjadi guru? Sehingga kini, keperluan diadakan temuduga masih menjadi tanda tanya sebab dan musababnya.
Yang paling membuatkan kami terkilan dan musykil ialah apabila secara tiba-tiba kami mendapat berita bahawa ijazah kami tidak diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA). Fakta ini kemudiannya disahkan apabila rujukan dibuat di portal JPA sendiri sekitar penghujung 2013. Ini jelas tidak dapat diterima akal yang waras. Kami kebingungan. Masakan KPM tidak bekerjasama dengan JPA sebelum membuat keputusan untuk menghantar pelajar ke luar negara? Bagaimanakah persetujuan dicapai ketika KPM mengambil keputusan untuk menghantar pelajar tajaan mereka ke luar negara?
Adakah keputusan ini dilakukan tanpa melalui apa-apa perbincangan dengan JPA? Mengapa percanggahan sebegini boleh berlaku di antara dua jabatan kerajaan? Selama 6 tahun kami mengerah keringat membanting tulang untuk mendapatkan segulung ijazah tetapi ijazah itu pula tidak diiktiraf. Apakah tempoh masa 6 tahun masih tidak mencukupi untuk JPA membuat kajian dan memberi pengiktirafan terhadap ijazah kami? Sudahlah belajar selama 6 tahun yang jika diikutkan merupakan tempoh masa belajar untuk menjadi seorang doktor! Kini ijazah ini tidak diiktiraf pula? Saya amat berharap KPM dapat merangka solusi untuk semua masalah ini agar ia tidak berulang di masa hadapan. Jika berulang, natijahnya amat buruk sekali untuk kelangsungan kualiti pendidikan negara yang sedia tenat.
Saya lihat tindakan kerajaan merencana PPPM adalah satu petanda bahawa mereka sedar krisis yang dihadapi oleh sistem pendidikan negara. Desas-desus mengatakan bahawa KPM hanya akan merekrut kelompok 10% teratas di kalangan pelajar cemerlang SPM bagi mengikuti latihan perguruan menjadi guru. Namun, dengan dukacita dan hormatnya kami ingin menyatakan, sekiranya pengurusan KPM masih bersikap tidak profesional, tidak 'cost-efficient' serta gagal mengamalkan 'good governance', pelajar segenius Albert Einstein atau Stephen Hawking sekali pun pasti akan lari dan bekerja di tempat lain.
Atas dasar yang disebutkan, kami amat berharap dengan tersiarnya warkah aduan ini, ia dapat membuka mata Kementerian Pendidikan Malaysia agar mengambil tindakan segera terhadap masalah ini. Tidak timbul isu lambakan guru seperti disiarkan akhbar baru-baru ini sedangkan IPG masih lagi mengadakan pengambilan secara berterusan setiap tahun.
Memang benar rezeki datang daripada Allah yang Maha Esa tetapi kita juga diperintahkan untuk berusaha mendapatkan rezeki itu. Semoga dengan adanya tulisan ini, perkara yang sama tidak akan berulang kepada junior kami yang pulang daripada pengajian di luar negara dan kini sedang menjalani tempoh latihan praktikal. Janganlah sehingga warkah seumpama ini ditulis semula pada tahun hadapan untuk mengadukan perkara yang sama.
Jika ia tetap berulang, saya pasti dalam masa 13 tahun dari sekarang kita masih akan mengulangi kitaran 'mula sedar akan masalah yang dihadapi sistem pendidikan dan merancang semula PPPM'. Cuma mungkin pada waktu itu, dalam satu nama yang berbeza. Ambillah iktibar daripada pesan Nabi Muhammad seperti yang tercatat dalam sahih al-Bukhari iaitu "orang mukmin tidak boleh disengat dua kali dari satu lubang".
Semua pihak yang prihatin mahu pendidikan negara mencapai kecemerlangan dan tidak sekadar berada di tahap mediocre. Ramai yang menuding jari kepada guru, ibu bapa, pelajar serta pembuat polisi itu sendiri. Bagaimanapun, kita sering lupa bahawa beban mencapai kecemerlangan itu juga terletak di bahu KPM yang perlu menyediakan suatu sistem pengurusan sistematik, efisien dan konsisten.
Sebagai tanda mengakhiri warkah ini, saya ingin berkongsi kata-kata Gyan Nagpal, penulis buku Talent Economics iaitu "while mistakes may be local, in today's connected world embarrassment is global". Justeru, KPM, usah biarkan kekurangan dan kelemahan pengurusan seperti ini terus-menerus mencemarkan nama dan maruah KPM selaku badan pendidikan nombor satu negara. Akhir kata, majulah pendidikan untuk Malaysia, dulu, kini dan selamanya.

Sumber Berita Dari Blog KedahLaNie

No comments:

Post a Comment