KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Abdul Samad menyatakan kesudian untuk berdebat dengan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar dalam isu kalimah Allah.

Sebelum ini, Noh pada Majlis Perasmian Sambutan Maulidur Rasul anjuran Umno Bahagian Sungai Besar, di Sekin Hotel Sekinchan mencabar mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat (PR) untuk berdebat isu kalimah Allah dari sudut perundangan.

Khalid melalui akaun twitter memberitahu beliau bersetuju dengan debat tersebut tanpa apa-apa syarat.

"Sinar Harian beritahu Noh Omar cabar saya debat isu Kalimah Allah. Sinar Harian akan anjur. Lai, lai saya jawab. Xyah apa2 syarat, stuju je," jelas beliau melalui akaun twitter.

Khalid yang ketika dihubungi Harakahdaily memberitahu beliau telah dihubungi Sinar Harian bagi memaklumkan program tersebut yang akan diadakah pada 27 Januari (Isnin) jam 2.30 petang.

Namun, jelas beliau program tersebut akan diadakan secara tertutup dan hanya yang dijemput sahaja dibenarkan hadir.

"Saya telah dihubungi oleh pihak Sinar Harian berhubung dengan program tersebut, ia akan diadakan pada 27 Januari (Isnin) pada jam 2.30 petang."

"Program itu diadakan secara tertutup dan mereka yang mendapat jemputan sahaja yang dibenarkan hadir," jelasnya.

Beliau yang telah menyatakan kesudiannya untuk berdebat dengan Pengerusi Umno Selangor dan hanya menunggu surat jemputan rasmi daripada pihak penganjur.

"Secara lisan saya bersetuju untuk berdebat dengan Noh, sekarang hanya menunggu surat jemputan rasmi sahaja."

"Dalam pada itu saya berharap Noh tidak akan menarik diri pada saat-saat akhir, kita telah lihat sebelum ini pemimpin Umno hanya berani mencabar tetapi di saat akhir mereka tarik diri dan harap Noh tidak seperti rakan-rakan mereka yang lain," ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.

Noh dalam kenyataannya turut mencadangkan debat tersebut itu nanti perlu dianjurkan badan bebas seperti dikendalikan Sinar Harian dalam siri wacana yang dianjurkan akhbar itu sebelum ini.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment