Jais kata terlupa beritahu saya dan MB, kata Exco Agama Selangor

OLEH MUZLIZA MUSTAFA

Exco agama kerajaan negeri Selangor, Sallehen Mukhyi (gambar) telah mengarahkan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat laporan kepada beliau segera mengapa tindakan mereka ke atas Persatuan Bible Malaysian (PBM) tidak diberitahu kepadanya dan juga pejabat Menteri Besar.

Ketika dihubungi hari ini, Sallehen berkata, beliau telah memanggil Pengarah Ahmad Zaharin Mohd Saad dan Pengarah Penguatkuasaan Jais ke pejabatnya hari ini.

Dalam pertemuan hari ini, Sallehen meminta kedua-duanya memberikan penjelasan tentang serbuan itu dan kegagalan mereka memaklumkan kepada beliau sebelum ia dilakukan.

Semalam ketika dihubungi, Sallehen yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor terkejut kerana tindakan Jais itu tidak diketahui oleh beliau.

"Baru sekarang saya tahu," kata Sallehen kepada The Malaysian Insider.

"Mereka kata terlupa dan serbuan itu dibuat kerana Jais rasa ia melanggar Enakmen 1988 tentang penggunaan nama Allah."

"Mereka membuat itu tanpa memberitahu saya dan juga pejabat Menteri Besar," kata Salehin hari ini.

Tengahari semalam Jais menyerbu pejabat PBM di Damansara Kim dan merampas kira-kira 300 Bible berbahasa Melayu dan Iban.

Dua pegawai PBM iaitu pengerusinya Lee Min Choon dan Sinclair Wong diarahkan ke Balai Polis Damansara untuk diambil keterangan mereka dan hanya dilepaskan dua jam kemudian.

Sallehen berkata, dia telah telah meminta Pengarah Jais membuat laporan segera hari ini juga mengenainya.

"Kita akan baca laporan itu sebelum membuat apa-apa kenyataan," katanya.

Sallehen berkata, dia merancang untuk bertemu Lee dan Wong Isnin ini bagi mendengar cerita mereka pula.

"Saya tidak boleh sekadar mendengar satu pihak. Saya akan mendengar daripada kedua-dua belah pihak tentang hal ini," kata Sallehen yang mula dilantik menjadi exco Selangor selepas pilihan raya umum Mei lalu.

Sallehen menambah, sebarang tindakan yang hendak diambil Jais perlu mendapat perkenan Sultan Selangor terlebih dahulu.

"Ini bukan isu mahu naik harga. Ini melibatkan agama dan mesti dikendalikan dengan teliti kerana terlalu banyak sensitivitinya."

"Islam adalah agama yang cantik dan penuh kasih sayang. Jika ada masalah pun, kita mesti selesaikannya tanpa menimbulkan masalah yang lain pula," katanya.

Tahun lepas, Sultan Selangor telah mengeluarkan perintah agar nama Allah hanya boleh digunakan oleh orang Islam sahaja di Selangor.

Sumber Berita Dari The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment