Dipecat sebagai MB Selangor: Khalid serah kepada rakyat, ahli parti

OLEH DIYANA IBRAHIM

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersalam dengan peserta dialog di Kuala Selangor. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 18 Januari, 2014.Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersalam dengan peserta dialog di Kuala Selangor. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 18 Januari, 2014.
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini berkata, beliau menyerahkan cadangan pemecatan beliau sebagai menteri besar Selangor yang diusulkan oleh kumpulan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dalam mesyuarat parti tersebut baru-baru ini kepada rakyat dan ahli parti.

Menteri besar Selangor yang enggan mengulas lebih lanjut mengenai isu tersebut bagaimanapun hanya menyifatkan isu yang melanda antara beliau dan Azmin itu sebagai isu politik.

"Itu hal politik. Isu tersebut biarlah ditentukan oleh rakyat dan ahli parti sendiri," katanya kepada media selepas menghadiri program dialog bersama penduduk di Kuala Selangor.

Sebelum ini, The Malaysian Insider melaporkan Abdul Khalid hampir hilang pekerjaannya dua malam lalu apabila Azmin yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa dan penyokongnya mencadangkan beliau disingkirkan daripada kerusi itu.

Ia berlaku rentetan kemarahan penyingkiran Azmin sebagai ahli lembaga pengarah anak syarikat kerajaan negeri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), namun ia diselamatkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menolak cadangan itu.

The Malaysian Insider difahamkan cadangan itu hangat dibahaskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR pada malam Rabu lalu yang dipengerusikan oleh Anwar.

Abdul Khalid turut mengakui tidak mengetahui tentang cadangan pemecatan beliau dalam mesyuarat tersebut.

Mengulas mengenai percanggahan kenyataan diantara PKNS sehingga menimbulkan konflik Abdul Khalid berkata kerajaan negeri memutuskan akan memanggil Pengurus Besar Datuk Othman Omar dan Setiausaha PKNS Norita Mohd Sidek Isnin ini agar perbincangan dapat dilakukan.

Anwar dalam satu sidang media beberapa hari lalu menolak cadangan kerajaan negeri untuk memecat Azmin kerana sepatutnya beliau berkhidmat sehingga 2015.

Bagaimanapun, Abdul Khalid menjelaskan bahawa beliau ataupun Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) tidak pernah membuat keputusan untuk membuang Azmin.

"Ia dibuat oleh pengurus besar PKNS," kata Abdul Khalid dalam sidang medianya selepas mesyuarat Exco Selangor pada Rabu.

Sementara itu cubaan mendapatkan maklum balas dari Azmin tidak berjaya apabila beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak itu menegaskan enggan memberi sebarang komen berhubung pergolakan tersebut.

Pada masa sama Abdul Khalid menolak saranan Majlis Fatwa Kebangsaan yang menyarankan Jabatan Agama Islam Selangor tidak perlu memulangkan kembali bahan rampasan.

Beliau berkata kerajaan negeri hanya akan memutuskan keputusan mengikut saranan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Kerajaan negeri telah buat keputusan hanya KDN yang boleh memberi nasihat cadangan tentang isu ini," katanya.

Abdul Khalid juga turut menegaskan akan tetap dengan pendirian akan memberi tempoh selama setahun bagi Pusat GiatMara di Selayang perbaiki struktur bangunannya.

Sumber Berita Dari The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment