KUALA LUMPUR: PAS Kawasan Batu hari ini turut tampil membuat laporan polis terhadap Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berikutan kenyataan beliau yang melabelkan peserta himpunan Turun 31 Disember lalu sebagai 'Bughah' (penderhaka) dan dihalal darah mereka.

Laporan hari ini diketuai Yang Dipertua PAS Kawasan Batu Ishak Surin dibuat di balai polis Sentul di sini.

Laporan serupa kemudian dibuat oleh dewan-dewan kawasan itu termasuk Dewan Pemuda, Muslimat dan juga Urusan Ulamak.

Bagi Ketua Urusan Ulamak Kawasan Batu, Ustaz Azhar Yahya, kenyataan mufti itu mengelirukan kerana tidak disertakan hujah dan bukti yang jelas yang boleh menunjukkan peserta himpunan itu sebagai 'bughah'.

"Itu adalah satu kenyataan yang tidak ilmiah dan tersasar daripada garis panduan seorang mufti untuk mengeluarkan fatwa atau sebarang hukum", katanya yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Batu, Nurul Islam Mohamed Yusoff turut menyifatkan kenyataan Harussani itu sebagai fatwa songsang yang berbahaya.

"Kami mengklasifikasikan kenyataan beliau itu sebagai penyelewengan fatwa dan sangat bahaya kerana boleh mencetuskan kekacauan", katanya.

Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Batu, Ustazah Salbiah Abdul Wahab pula berkata, sebagai seorang mufti, Harussani sepatutnya bertindak sebagai pembela agama dan rakyat yang ditindas bukan membela kerajaan yang zalim.

Sumber Berita Dari Harakahdaily

No comments:

Post a Comment