Bersih 2.0 kecam peletakan jawatan Adun PKR demi kepentingan parti

OLEH MD IZWAN

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengecam keras peletakan jawatan wakil rakyat PKR, Lee Chin Cheh daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang kerana ia mengkhianati amanah rakyat.

Pertubuhan bukan kerajaan tersebut menegaskan tindakan itu sama sekali tidak boleh diterima semata-mata demi kepentingan PKR.

"Bersih 2.0 menegaskan ia tidak munasabah wakil rakyat meletak jawatan demi kepentingan parti politiknya."

"Peletakan jawatan Lee Chin Cheh adalah satu pengkhianatan yang diberi lapan bulan lalu," kata gabungan tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

Bersih juga membidas PKR kerana mengamalkan politik kotor dengan menerima peletakan Lee tanpa sebarang alasan yang munasabah.

"Politik kotor yang busuk ini perlu ditentang dan dikecam," kata Bersih 2.0.

Dalam pada itu, Bersih berkata tanggungjawab seorang wakil rakyat adalah memberikan khidmat kepada pengundinya dan bukan semata-mata terhadap parti yang diwakilinya.

"Perletakan jawatan Lee tidak meletak kepentingan rakyat terlebih dahulu."

Bersih 2.0 juga mengingati supaya ahli politik dan parti politik tidak memanipulasikan mandat yang diberikan kepada mereka oleh rakyat.

Awal hari ini, pengumuman dibuat oleh PKR untuk meletak Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) sebagai calon pilihan raya kecil di Kajang selepas perletakan jawatan Lee semalam.

Pengkritik melihat langkah meletak Anwar sebagai usaha meredakan ketegangan antara kem Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Sumber Berita Dari The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment