Mohd Ridzuan (tiga dari kiri) bersama para pemimpin Pakatan Rakyat Perak selepas sidang media.

IPOH: "Berilah keadilan kepada diri saya," demikian luahan pempetisyen Dun Lubok Merbau, Mohd Ridzuan Asit ketika mengulas perjalanan perbicaraan petisyen pilihan raya yang berlangsung pada 8, 9 dan 10 Januari lalu.

Mohd Ridzuan kesal kerana bukan sahaja tidak dapat diwakili peguam malah beliau juga tidak dibenarkan untuk mempertahankan diri sendiri dengan alasan tidak mematuhi peruntukan di bawah Kaedah 9 dan 34 Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihanraya 1954.

Kata beliau, Hakim Abdul Rahman Sebli juga tidak membenarkan saksi-saksi memberikan keterangan untuk mengemukakan bukti-bukti kesalahan pilihan raya bagi mencabar kemenangan BN di Dun tersebut dengan majoriti 53 undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.

Ridzuan menjelaskan, perbicaraan petisyen itu berlangsung dalam suasana tidak adil apabila pihak hanya responden sahaja yang boleh memberikan keterangan dengan barisan peguam.

"Saya cukup hairan, kenapa hakim membenarkan responden membangkitkan bantahan awal seperti apa yang berlaku pada perbicaraan dahulu sedangkan Mahkamah Persekutuan telah memutuskan keputusan hakim sebelum ini batal."

"Apabila terjadi lagi begitu, ianya menampakkan keadilan itu tidak ada untuk diri saya. Saya berhak mendapat keadilan seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara," katanya ketika mengadakan sidang media bersama kepimpinan Pakatan Rakyat Perak di Pejabat Perhubungan PAS Perak, dekat sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Pakatan Rakyat Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar, Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Misbahul Munir dan mantan Calon PAS Dun Lubok Merbau, Zainuddin Mohd Yusof.

Jelas Ridzuan, dalam perbicaraan itu, beliau telah beberapa kali merayu agar hakim mengundur diri daripada mengadili perbicaraan namun rayuannya langsung tidak dilayan.

Dalam pada itu, Mohammad Nizar menegaskan, Pakatan Rakyat mewakili pempetisyen akan menghantar sepucuk surat kepada Ketua Hakim Negara,Tun Arifin Zakaria.

Ini katanya bertujuan untuk merayu Ketua Hakim Negara menilai semula perjalanan perbicaraan kes itu.

"Ketua Hakim negara perlu mengambil perhatian serius akan perjalanan perbicaraan kes ini kerana ianya memberikan kesan kepada imej institusi kehakiman negara."

"Kami akan mengutus surat kepada beliau hari ini dan berharap beliau dapat membuat tindakan sewajarnya," jelasnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria menjelaskan, PAS Perak melahirkan rasa dukacita akan perjalanan perbicaraan kes itu.

Menurutnya, keputusan Mahkamah Persekutuan membenarkan perbicaraan petisyen itu memberikan satu sinar kegembiraan namun perjalanan perbicaraan tidak seperti yang diharapkan.

"PAS Perak melahirkan rasa dukacita terhadap situasi ini dan berharap agar kes petisyen didengar berdasarkan merit kes."

"Kami juga menzahirkan sokongan terhadap pempetisyen dan berharap keadilan diberikan kepadanya," jelasnya lagi.

Sebelum ini, Mohd Ridzuan Asit, pengundi Dun Lubok Merbau telah memfailkan petisyen pilihan raya terhadap Adun BN, Dato' Siti Salmah Mat Jusak dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Walaubagaimanapun, dalam perbicaraan sebelum ini, mahkamah tersebut telah menolak petisyen yang difailkan oleh pempetisyen dengan kos.

Melalui rayuan yang dibuat selepasnya, Mahkamah Persekutuan telah membenarkan rayuan petisyen itu dan memerintahkan agar kes ini dibicarakan pada 8, 9 dan 10 Januari lalu sebelum mahkamah memutuskan keputusannya akan diumumkan Khamis ini.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment