Anak Taib Mahmud pegang saham 49 syarikat bernilai RM1 bilion

OLEH DIYANA IBRAHIM

Bekas menantu Ketua Menteri Sarawak, Shahnaz Majid tuntut penyelesaian perceraian sebanyak RM400 juta. Gambar fail. Bekas menantu Ketua Menteri Sarawak, Shahnaz Majid tuntut penyelesaian perceraian sebanyak RM400 juta. Gambar fail.Anak kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib memiliki saham dalam 49 syarikat yang bernilai lebih daripada RM1 bilion, kata akauntan di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur hari ini.

Andrew Heng memberitahu mahkamah tiada maklumat mengenai 18 daripada 49 syarikat tersebut kerana entiti tersebut dikecualikan daripada menghantar penyata kewangan yang diaudit kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Sebelum ini, bekas isteri Mahmud Abu Bekir, Shahnaz Majid, 50, memberitahu mahkamah bahawa bekas suaminya itu mempunyai aset lebih daripada RM1 bilion di Malaysia.

Heng yang dibayar oleh Shahnaz untuk menyiasat status kewangan Mahmud Abu Bekir memberi kenyataan dalam perbicaraan tuntutan penyelesaian perceraian Shahnaz sebanyak RM400 juta termasuk harta sepencarian dan mutaah.

Shahnaz juga menuntut aset yang dimiliki Mahmud Abu Bekir termasuk tujuh kereta mewah, beribu hektar tanah di Sarawak, beberapa rumah di luar negara dan saham daripada 15 syarikat.

Ketika disoal oleh peguam Shahnaz, Dr Rafie Mohd Shafie, Heng berkata daripada siasatannya mengenai salah satu daripada 18 syarikat tersebut, syarikat itu sedang membangunkan rumah banglo di dua kawasan di Bukit Tunku, Kuala Lumpur yang bernilai RM18 juta.

"Oleh kerana defendan memiliki saham 50% daripada syarikat tersebut, saham beliau bernilai RM9 juta," kata Heng.

Heng dalam keterangannya berkata, sebuah kereta mewah jenis Audi Q5 juga dikenal pasti disenaraikan antara aset syarikat tersebut dengan nilai anggaran mencecah RM345,000.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa dengan tambahan nilai kereta mewah itu menjadikan nilai saham Mahmud Abu Bekir sebanyak RM172,500.

"Hasil daripada siasatan, hanya aset daripada sebuah syarikat tersebut sahaja yang dapat kita nilai, tidak kepada 18 lagi syarikat," katanya.

Katanya, jumlah pegangan saham juga berbeza jika dapat mengumpul semua maklumat penyata kewangan bagi 18 syarikat itu.

"Manakala kita dapati 11 daripada syarikat tersebut turut tidak diserahkan penyata kewangan kepada SSM semenjak 2011," katanya.

Dalam keterangannya, Heng berkata, tugasnya yang mewakili firma Ferrier Hodgson MH Sdn Bhd adalah menjalankan carian syarikat dimiliki bekas suami Shanaz termasuk melibatkan hak milik tanah di Sarawak.

Dalam perjanjian tersebut, beliau juga perlu mengira nilai aset milik bekas suami Shahnaz dan perlu disertakan dengan dokumen sebagai bukti sokongan.
"Ia berdasarkan harga saham pihak pembela bagi setiap syarikatnya yang kemudian akan ditambah dengan nilai syarikat tersebut bagi membolehkan pengiraan pegangan nilai saham dilakukan.

Shahnaz, kakak kepada ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid berkahwin dengan anak ketua menteri Sarawak itu pada 9 Januari 1992 dan sah bercerai pada 11 Mei 2011.

Mereka dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia 21 tahun.
Shahnaz diwakili peguam Dr Rafie Mohd Shafie dan Akbardin Abdul Kader.

Sumber Berita Dari The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment