1.7 juta penganut Kristian tidak mampu tukar agama rasmi negara

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK

Bilangan minoriti penganut Kristian tidak akan mampu menjadikan Malaysia negara Kristian, kata Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa. Gambar fail. Bilangan minoriti penganut Kristian tidak akan mampu menjadikan Malaysia negara Kristian, kata Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa. Gambar fail.Bilangan penganut Kristian yang berjumlah kira-kira 1.7 juta di negara ini tidak akan mampu menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian berbanding umat Islam yang merupakan majoriti penduduk negara ini iaitu sebanyak 55%, kata Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Ahli Parlimen PAS Parit Buntar itu berkata, belum pernah ada negara di dunia ini yang didirikan di atas konsep negara Kristian sebaliknya apa yang diterangkan dalam Bible adalah “Kingdom of Heaven” seperti yang diajarkan Nabi Isa.

“Bilangan penganut Kristian Katolik di Malaysia hanya 1.7 juta orang. Bagaimana jumlah itu boleh menjadikan negara ini sebagai negara Kristian ketika 55% lagi terdiri daripada orang Islam. Saya mesti belajar daripada penganut Kristian jika mereka melakukan ini."

“Cerita itu karut. Tiada bukti dan tiada fakta tetapi apa yang terpampang hanya di muka hadapan Utusan Malaysia. Ramai yang berbicara tentang hal tersebut. Selepas itu dikaitkan pula dengan Pakatan Rakyat (PR),” katanya dalam wacana “Polemik Kalimah Allah & Rampasan Bible” anjuran Pemuda PAS malam tadi.

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) semalam menolak kenyataan Pengerusi Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM), Tan Sri Razali Ismail yang menyifatkan penentangan terhadap penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian hanya kumpulan kecil, sebaliknya ratusan badan bukan kerajaan (NGO) Islam membuat laporan kepada polis.

Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali mengingatkan bahawa penganut Kristian adalah kumpulan paling minoriti negara ini, tetapi mereka kelihatan besar dan hebat kerana mendapat sokongan daripada parti politik tertentu.

“Adakah ratusan laporan polis dibuat oleh pelbagai pihak terutamanya NGO Melayu dan Islam dianggap minoriti? Siapa yang minoriti sebenarnya? Jangan main suka sahaja buat kenyataan tanpa periksa dahulu di balai polis,” katanya.

Mujahid berkata, kerajaan harus segera menghentikan perlakuan mempolitikkan kalimah Allah agar rakyat tidak terus melihat ia sebagai usaha membodohkan diri sendiri.

Katanya, Islam sendiri melarang umatnya menghina agama lain dan setiap perkara yang dilakukan pasti akan mendapat pembalasan.

“Jika benar ia isu politik, jangan sampai orang melihat kamu bodoh sebegitu rupa. Kalau hendak berpolitik pun cerdiklah sikit. Malangnya mereka masih menjadi pilihan. Islam melarang umatnya memaki hamun Tuhan agama lain. Setiap satu perkara pasti ada tindak balas. Kita kutuk orang, orang akan kutuk kita balik."

“Apa yang kita hendak cari ialah budaya keterbukaan bagi memahami erti kepelbagaian. Saya dengan mudah memahami tanpa perlu mengambil pengajian doktor falsafah berdasarkan apa yang Al-Quran ajarkan. Ia bukannya kerana saya seorang ahli politik tetapi agama mengajar saya. Saya tidak perlu takut kerana yang menganjurkan ini bukan daripada parti tetapi Al-Quran,” katanya.

Beliau memberikan contoh khalifah Islam pada suatu ketika dahulu menunjukkan contoh yang baik bagaimana agama lain perlu dihormati meskipun ketika peperangan.

“Pada zaman khalifah Umar Al-Khattab, beliau memasuki Baitulmuqaddis dan mengarahkan tiada mana-mana penganut Kristian boleh disakiti malah beliau mengisytiharkan deklarasi keamanan pertama di antara umat Islam, Yahudi dan Kristian."

“Begitu juga apa yang berlaku pada zaman Salahuddin Al-Ayubi ketika peperangan menentang Richard The Lionheart bersama tujuh negara Eropah menakluk Baitulmuqaddis, beliau memerintahkan gereja dibuat pemulihan setelah terkena serangan bagi menghormati agama Kristian dan Yahudi bersama Islam,” katanya.

Mujahid berkata, umat Islam tidak mempunyai hak mengarahkan bagaimana agama lain perlu menjalankan peribadatan mereka bagi mengelakkan penganut agama lain juga melakukan tindakan sama terhadap Islam.

Katanya, usaha melakukan perdamaian bersama gereja tidak menjadikan dirinya terkeluar daripada agama Islam malah menjadi umat yang lebih baik bagi memahami Islam.

“Apa hak kita mengarahkan penganut Kristian, apa yang boleh dan apa yang tidak? Bagaimana pula keadaan sedemikian berlaku kepada orang Islam? Kalau begitu caranya, huru-hara dunia ini. Saya pergi ke gereja dan saya masih Islam malah agama saya lebih baik. Pergi ke gereja tidak menjadikan kita Kristian."

“Kita tidak boleh menjadikan agama seperti mana yang kita mahu tetapi mematuhi agama sebagaimana yang dikehendaki Tuhan. Ini bukan kenyataan politik. Sebagai seorang Islam, saya berasakan rampasan Bible tidak mewakili hasrat Islam sebaliknya pihak tertentu,” katanya.

September tahun lalu, media melaporkan beberapa NGO Islam membantah tindakan Mujahid menganjurkan dialog bersama masyarakat Kristian di Butterworth yang menurut mereka ia harus dikendalikan oleh orang yang arif tentang Islam bukannya ahli politik.

Setiausaha Gabungan, Azmi Jaafar, berkata mereka bimbang jika akan ada pihak menggunakan dialog tersebut untuk agenda politik sehingga sanggup menggadaikan maruah Islam.

Katanya, dialog itu tidak dihalang sebaliknya peranan berdialog perlu diberikan kepada orang yang lebih fasih tentang Islam seperti mufti.

Dalam wacana itu juga, Mujahid mengingatkan hadirin bahawa jangan sesekali terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu yang mengatakan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian sebagai satu usaha Kristianisasi.

Katanya, pihak yang mendakwa umat Islam akan murtad apabila penganut Kristian menggunakan kalimah Allah adalah satu penghinaan kepada agama Islam itu sendiri.

“Isu kalimah Allah tiada kena-mengena dengan Kristianisasi sebaliknya ia tentang hak yang perlu diberikan. Jangan sesekali percaya kalimah Allah yang digunakan dalam Al-Kitab, orang Islam akan menjadi murtad. Itu menghina agama Islam."

“Tidak mungkin kalimah Allah yang disebut orang Kristian, orang Islam menjadi murtad. Di mana kekuatan agama kamu? Pengetahuan kita ditutup dengan orang yang bodoh membuat keputusan ini. Setiap perkara ada had tetapi kebodohan mereka tiada had,” katanya.

Sumber Berita Dari The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment