Walaupun Diugut & Diancam Pelbagai Cara, Himpunan TURUN Berlansung Juga

Sambutan 2014 di Dataran Merdeka tanpa bunga api

Sambutan Ambang Tahun Baru 2014 lewat malam tadi di Dataran Merdeka berlangsung tanpa sebarang percikan bunga api, malah konsert ambang Tahun Baru turut ditamatkan sebelum detik 12 malam apabila peserta demonstrasi yang menggelarkan diri mereka Gerakan Turunkan Kos Sara Hidup (Turun) mula memasuki kawasan berkenaan.

Menurut polis, lebih 5,000 peserta demonstrasi Turun mula memasuki kawasan padang di Dataran Merdeka tepat jam 11 malam, selepas mereka berjaya melepasi tiga halangan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk satu halangan menggunakan kereta peronda polis.

Ia menyebabkan dua polis cedera di tangan dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan, dakwa Ketua Polis Daerah Dang Wangi Zainuddin Ahmad.

Sejurus peserta demonstrasi memasuki kawasan padang yang menjadi lokasi konsert ambang tahun baru, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Phesal Talib dilihat cuba menenangkan keadaan apabila menggesa peserta demonstrasi mengawal emosi dan tindakan mereka.

"Saya berharap takkan timbul masalah berkaitan ketenteraman dan menjejaskan pengunjung kita pada malam ini."

"Berilah peluang kepada semua pihak menyambut tahun baru 2014. Peliharalah keamanan dan keselamatan semua pihak," kata Ahmad Phesal dan disambut dengan sorakan "Boo...." dan juga "penipu" berulang kali daripada peserta demonstrasi.

Bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan, mahupun keganasan direkodkan sepanjang demonstrasi aman tersebut berlangsung.

Demonstrasi berkenaan dilaporkan bermula dari beberapa lokasi berbeza di ibu negara, iaitu di hadapan kompleks membeli belah Sogo, Masjid Jamek sebelum kesemua peserta bertemu di Dataran Merdeka.

Sepanjang perjalanan mereka, peserta demonstrasi yang membantah kenaikan kos sara hidup yang disebabkan oleh kenaikan beberapa barangan seperti bahan api, gula, kadar tarif elektrik dan juga pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) melaungkan slogan "Turun", "Reformasi" dan banyak lagi.

Majoriti peserta yang menyertai himpunan berkenaan dilihat memakai kemeja-T hitam tertera logo dengan perkataan "Turun".

Turut kelihatan menyertai demonstrasi anak muda berkenaan termasuklah beberapa pemimpin politik daripada Pakatan Rakyat (PR) seperti Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli, ahli Parlimen Bukit Katil Shamsul Iskandar Mat Akin, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dan beberapa pemimpin badan bukan kerajaan pro pembangkang.

Kaji selidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMCEDEL) ketika mendedahkan hasil kajian mereka sebelum ini memberi amaran kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) agar menangani kenaikan kos sara hidup sekiranya mereka masih ingin memerintah selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Malah, beberapa pemimpin BN turut menyuarakan hasrat agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memandang berat hasil kajian berkenaan meskipun Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan memberi jaminan kerajaan sedang berusaha untuk tidak membebankan rakyat dengan kenaikan berkenaan.

Malah, Najib juga dilihat cuba meredakan keadaan dengan mengumumkan 11 langkah penjimatan kerajaan dalam menangani kos sara hidup yang antaranya melibatkan potongan 10% bagi elaun keraian perdana menteri, timbalan perdana menteri, dan juga anggota kabinet.

Sejurus sambutan ambang tahun baru itu ditamatkan lebih awal, peserta demonstrasi Turun kemudiannya dilihat memenuhi kawasan sekitar Dataran Merdeka sambil menyanyi.

Menjelang jam 1 pagi, kumpulan berkenaan dilihat beransur-ansur meninggalkan kawasan Dataran Merdeka.

"Kita pasti akan mengambil tindakan kepada kumpulan yang terlibat dan atas kerosakan serta kekacauan mereka lakukan termasuk kita akan meminta anggota polis yang cedera itu membuat dakwaan," kata Zainuddin.

Sementara itu, beliau menganggarkan jumlah peserta Turun pada malam ini seramai 5,000 orang dan bilangan yang datang ke dataran bagi tujuan sambutan tahun baru ialah seramai 15,000 orang.

Tetapi ia berbeza dengan apa yang dikatakan oleh media alternatif apabila melaporkan jumlah kehadiran peserta Turun lebih daripada 10,000 orang.

Beliau turut menyatakan siasatan awal mendapati beberapa kesalahan telah dilakukan oleh gerakan seperti perarakan ke Dataran Merdeka dimana ia melanggar Seksyen 15 Akta Perhimpunan Awam 205.

"Pihak polis juga tidak menerima notis kebenaran berhimpun dan mereka telah merempuh kesemua halangan serta masuk ke kawasan konsert dimana akan didakwa atas kesalahan menghalang penjawat awam bertugas," katanya.

Oleh demikian, beliau berkata satu pasukan siasatan khas ditubuhkan oleh pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan dan mencari dalang yang terlibat untuk didakwa.

Tambahnya pihak berkuasa juga telah menjumpai senjata iaitu empat parang dan 13 pisau yang ditinggalkan di tepi longkang kompleks Daya Bumi.

Zainuddin turut mengesahkan tiada tangkapan dibuat setakat perhimpunan berlangsung selain mendakwa turut mengenal pasti beberapa ahli politik pembangkang yang dilihat turut menyertai bantahan tersebut.

Beliau juga menegaskan pihak berkuasa kali ini lebih "berlembut" dengan peserta protes kerana mengguna pakai konsep perhimpunan aman yang hanya memantau namun tidak akan bertindak agresif.


Sumber Berita Dari Blog Kelab Greenboc

No comments:

Post a Comment