KOTA BHARU: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menggesa agar Majlis Keselamatan Negara (MKN) dirombak sepenuhnya agar ia lebih tertumpu kepada soal keselamatan negara dan bukan tertumpu kepada pemantauan politik semata-mata.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang meminta MKN menyediakan standard operating procedure (SOP) yang baharu bagi berdepan bencana alam, khususnya banjir dan kebajikan rakyat di masa akan datang yang dilihat banyak kelemahan.

Mahfuz ketika menghubungi Harakahdaily menegaskan bukan hanya SOP perlu diperbaharui tetapi turut berharap agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi MKN meletakkan jawatan dan menyerahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memilih mereka yang tidak mempunyai kepentingan politik.

"Kita melihat terlalu banyak kelemahan yang berlaku di dalam MKN terutama dalam soal keselamatan dan kebajikan rakyat terutama apabila menghadapi bencana banjir baru-baru ini."

"Bagi saya bukan hanya SOP perlu diperbaharui tetapi yang paling utama sekali adalah keseluruhan jawatankuasa termasuk pengerusinya yang perlu dilantik dari mereka yang tidak mempunyai kepentingan politik langsung," jelasnya.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena menjelaskan, MKN sekarang lebih tertumpu kepada hala tuju politik Umno dan memberi tekanan kepada perjalanan Pakatan Rakyat sehinggakan apabila berlakunya banjir mereka gagal bertindak dengan pantas dalam menghulurkan bantuan.

Jelasnya lagi, rakyat memerlukan sebuah jawatankuasa yang lebih tertumpu kepada soal kebajikan rakyat dan pantas untuk membuat keputusan jika berlaku musibah yang tidak disangka-sangka.

"MKN sekarang ini hanya tertumpu kepada hala tuju politik Umno dan menimbulkan propaganda kepada politik Pakatan Rakyat agar parti itu terus bertapak."

"Sedangkan soal keselamatan, kebajikan rakyat serta pelan bertindak jika berlaku sesuatu bencana gagal ditekankan sebaik mungkin."

"Kita lihat apa yang berlaku di Kuantan dan Kemaman pada banjir yang lepas, berapa lama diperlukan untuk menghantar bantuan makanan serta perpindahan mangsa. Rakyat memerlukan sebuah jawatankuasa yang lebih prihatin bukan mengutamakan agenda politik, nama dan kedudukan," jelas beliau.

Mahfuz yang menggesa agar satu pelan tindakan baru bagi membentuk sebuah jawatankuasa baru MKN dilaksanakan segera serta SOP yang sebelum ini juga perlu dirombak sepenuhnya.

Katanya, perkara ini perlu diambil perhatian serius kerana kenyataan Ahmad Shabery merupakan satu pengakuan jelas bahawa MKN mempunyai kelemahan dalam soal kebajikan rakyat dan keselamatan.

Sumber Berita Dari Harakahdaily

No comments:

Post a Comment