KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad mempersoalkan tindakan kerajaan yang masih menggunakan kontraktor yang sama walaupun kontraktor tersebut telah disenaraihitamkan.

Raja Bahrin berkata, bumbung Masjid Kampung Tebauk, Kuala Terengganu yang runtuh pada September baru-baru ini dibina oleh kontraktor yang telah disenarai hitam pada tahun 2009.

"Kontraktor berkenaan telah disenarai hitam ketika membuat Masjid Batu Putih di Kemaman, tetapi kenapa kontraktor ini terus diberi projek untuk membina Masjid Tebauk," katanya.

Bahkan katanya, Kementerian Kerja Raya juga menegaskan tindakan senarai hitam akan dikenakan kepada kontraktor yang gagal dan bermasalah.

Jelas Bahrin, kontraktor tersebut juga masih mendapat tempat di Terengganu dan ketika ini sedang melaksanakan beberapa projek.

"Saya difahamkan ada beberapa projek yang sedang dijalankan oleh kontraktor berkenaan. Mungkin buat masa ini tidak ada masalah lagi yang timbul. Jika prestasi tidak bagus risikonya mesti ada," katanya.  

Beliau berkata demikian bagi mengulas insiden siling Dewan Cancelor Kolej Universiti Tati, Kemaman yang berharga RM17 juta runtuh semalam.

Menurutnya lagi, jika insiden yang berlaku kerana masalah teknikal ianya masih boleh diatasi.

"Tetapi apa yang berlaku ini melibatkan nilai-nilai moral yang sebenarnya sudah runtuh. Inilah perkara pokoknya. Bagaimana bangunan baru Tati boleh runtuh."

"Malah ada yang saya dengar, kalau hendak bersolat di masjid jangan pakai kopiah lembek kena pakai topi besi bimbang bumbung runtuh. Ini sudah menjadi bualan hampir keseluruhan rakyat negeri ini (Terengganu)," katanya.

Justeru katanya, kerajaan negeri tidak seharusnya menzahirkan kemarahan mereka sahaja kerana insiden seperti ini tetapi mesti ada tindakan jangka masa panjang yang perlu diambil.

"Saya tengok mereka hanya pandai marah-marah sahaja. Ini sikap acuh tidak acuh. Bila lama sikit kita cuai balik. Tindakan jangka panjang tidak ada," katanya.

Sumber Berita Dari Harakahddaily

No comments:

Post a Comment