Ramai polis disiasat kerana pengubahan wang haram sindiket pelacuran

Seorang pegawai kanan polis di Kuala Lumpur adalah antara 40 anggota polis yang sedang disiasat kerana mengubah berjuta-juta ringgit wang haram yang diperoleh sindiket pelacuran di Malaysia, sumber-sumber memberitahu The Malaysian Insider.

Difahamkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga memperluaskan siasatannya termasuk pengubahan wang haram dan amalan rasuah oleh beberapa dozen anggota polis di seluruh negara.

"Mereka sedang disiasat kerana pengubahan wang haram, dan sekurang-kurangnya rasuah," kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

"Anggota polis ini boleh didakwa kerana sebab-sebab tersebut. Bergantung kepada bukti yang kita kumpul," tambah sumber itu.

Sumber lain pula berkata operasi pengubahan wang haram melibatkan jutaan ringgit dan dikesan selepas beberapa peristiwa tembak menembak antara polis dengan penjenayah pada tahun 2013 di mana beberapa gangster yang disyaki ditembak mati di beberapa bandar utama.

"Kami sedang menyiasat hubungan antara tembak menembak ini dengan operasi pengubahan wang haram," kata sumber itu.

Pada 26 Disember, SPRM mengesahkan bahawa seorang pegawai kanan polis bergelar 'Datuk' telah memberikan satu kenyataan, berkaitan kes pengubahan wang haram yang bernilai lebih RM6 juta.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali (gambar) berkata, pegawai polis berkenaan telah memberi kenyataan di pejabat SPRM Putrajaya seminggu sebelum ini.

"Sebenarnya, kita telah memanggil pegawai kanan polis itu untuk mengambil kenyataan dan dan merakam perbualan."

"Beliau memberi kerjasama dengan baik dan kami mencatatkan kenyataan itu. Tiada tangkapan telah dibuat," beliau dipetik sebagai berkata oleh agensi berita Bernama.

Mustafa yang enggan mengulas lanjut, bagaimanapun berkata ia berkaitan dengan siasatan kes rasuah kerana wang telah ditemui di rumah pegawai itu dan berkemungkinan pegawai polis yang lain akan dipanggil untuk membantu dalam siasatan kes itu.

Sebuah akhbar melaporkan minggu lepas bahawa seorang pegawai kanan polis telah dipanggil untuk memberi kenyataan bagi  membantu SPRM dalam siasatan terhadap tiga pegawai polis berhubung kes pengubahan wang haram.

Pada bulan November, akhbar harian itu juga melaporkan bahawa ketiga-tiga pegawai polis, berpangkat DSP, ASP dan Sarjan, ditahan secara berasingan oleh SPRM dan semasa penangkapan itu, SPRM menjumpai RM500,000 dalam bentuk wang tunai, tiga jam tangan Rolex dan juga barang kemas.

Dua daripada pegawai ditangkap itu telah dipindahkan ke Johor dan yang ketiga ke Negeri Sembilan katanya, sambil menambah bahawa salah seorang pegawai telah disyaki terlibat dalam pengubahan RM1.7 juta wang haram dan RM4.3 juta.

Sumber Berita Dari The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment