Phahrolrazi: Bukti KDN Mat Sabu Syiah tidak kukuh

ALOR SETAR - Sepuluh bukti yang dikemukakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengatakan Timbalan Presiden Pas, Mohd Sabu pengikut Syiah dianggap lebih bersifat dakwaan kerana tiada bukti kukuh.

Veteran Pas yang juga bekas Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, alasan yang diberikan juga dianggap remeh.

"Rumusan dibuat daripada maklumat yang diperoleh daripada beberapa individu. Maklumat itu tidak boleh menjurus kepada tindakan perundangan,” katanya.

Menurutnya, adalah tidak masuk akal sekiranya seseorang individu itu dikaitkan berfahaman kiri sekiranya sekadar mengkagumi pemimpin seperti Khomeini.

“Saya sarankan Mat Sabu ambil tindakan perundangan terhadap mereka yang dakwa beliau Syiah, jika benar itu tuduhan liar, beliau berhak berbuat demikian untuk bersihkan nama yang tercalar,” katanya.

Phahrolrazi turut mempertikai sumber KDN yang memetik kenyataan CN Afghani, berhubung dakwaan bekas Yang DiPertua Pas kawasan Pendang, Tuan Guru Haji Abd Rahim dari Sungai Jagung, Pendang, yang didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa Mat Sabu penganut Syiah, kerana beliau pernah melihat Mat Sabu menunaikan solat menggunakan batu kecil leper di tempat sujud, yang sinonim dengan amalan Syiah.

“Sumber berkenaan yang sebut nama Tuan Guru Abd Rahim, bukan dari mulut beliau sendiri,” katanya.

Difahamkan, CN Afghani atau Zainol Ismail adalah bekas ahli Pas yang dipecat oleh parti ketika menganggotai Pemuda Pas, sekitar era 80-an. Beliau juga dikenali sebagai Cikgu Non pernah bersahabat baik dengan Mat Sabu hampir 20 tahun, namun selepas peristiwa Memali 1985, hubungan antara mereka tegang, sehingga beliau menulis buku ‘Mohd Sabu Air Mata di Bumi Memali’.

Phahrolrazi turut membidas KDN kerana tidak mengambil tindakan terhadap pengikut fahaman Syiah yang secara terang-terangan mengakui menganuti fahaman itu, sebaliknya hanya bertumpu kepada Mat Sabu, walaupun tuduhan masih samar.

Menurutnya, setakat ini, biarpun Ketua Syiah Malaysia, Mohd Kamil Zuhairi Abd Aziz dan Ketua Syiah Kedah, Abdullah Hassan mengakui diri mereka Syiah namun tiada tindakan diambil.

“Sehingga kini belum ada pendakwaan dibuat terhadap pengikut fahaman Syiah. Kenapa tak ambil tindakan jika sudah ada bukti dan mereka mengaku secara terang-terangan. Tuduhan terhadap Mohamad (Mat Sabu) pula belum sah, tetapi diperbesarkan seolah ada agenda lain bersifat politik,” katanya.

Menurut Adun Pengkalan Kundor itu, mereka yang terbukti menganuti fahaman itu boleh diambil tindakan bawah perundangan sedia ada, sama ada perlembagaan mahupun enakmen negeri.

“Perundangan ada, jika ada bukti kukuh, tindakan boleh diambil,” katanya.


Sumber Berita Dari Bloglist Malaysia

No comments:

Post a Comment