Padang Terap - Peneroka haram semakin rakus

Mohd Rifaat Abd Hamid

Peneroka haram semakin rakus
Pokok-pokok di Hutan Simpanan Kekal Bukit Perangin kini sudah ditebang oleh peneroka haram

PADANG TERAP- Hutan Simpan Kekal Perangin dekat Perik, sudah mula diterokai pihak tidak bertanggungjawab.
Aktiviti pencerobohan dikatakan giat dilakukan di kawasan tengah hutan itu, bagi memudahkan mereka meneroka dan gagal dihidu oleh pihak berkuasa.

Kini difahamkan, ada dalam kalangan peneroka haram sudah mula menanam pokok getah dan pisang sebagai penanda sempadan kawasan yang mereka terokai sejak beberapa bulan lalu.

Penduduk yang mahu dikenali dengan nama Adli berkata, kerja penebangan dikatakan giat dilakukan dan sukar dikawal oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, banyak pokok yang dikawal oleh pihak berkuasa selama ini sudah mula ditebang dan paling menyedihkan ada pokok yang besar ditebang bagi membuka kawasan pertanian baru di situ.

"Hasil tinjauan mendapati, pokok yang besar itu  tidak dibawa keluar untuk dijual tetapi mereka akan membakarnya pada waktu petang."

"Inilah yang membimbangkan kami penduduk di sini kerana risau kebakaran di hutan itu akan merebak," katanya.

Seorang lagi penduduk yang hanya dikenali sebagai Adlan berkata, kerja penerokaan itu bermula sejak tahun lalu.

Sudah ada dalam kalangan peneroka haram itu mula membina khemah sementara bagi melindungi mereka terutamanya ketika hari hujan.

Berikutan bimbang dengan kerakusan peneroka menebang pokok yang sudah berusia berpuluh tahun itu, dia pernah membuat aduan kepada Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Kedah tetapi sehingga hari ini belum ada sebarang tindakan diambil.

"Saya berharap pihak berkuasa dapat bertindak segera supaya hutan seluas 10,920 hektar ini dapat diselamatkan," katanya.

Sumber Berita Dari Blog KedahLaNie

No comments:

Post a Comment