Orang Umno juga marah elektrik naik, kata perwakilan Wanita Perak

Oleh Mohd Farhan Darwis

Isu kenaikan tarif bil elektrik turut menerima kritikan perwakilan Wanita Umno ketika persidangan Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Wakil Wanita Umno dari Perak Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, bukan setakat rakyat biasa sahaja yang marah akan kenaikan tariff elektrik malah ahli Umno sendiri juga begitu.

"Orang Umno pun marah. Yang bersilat kat bawah kome, yang berpeluhnya kome. Siapa nak tolong kome?" katanya ketika mencadangkan usul ekonomi sempena Perhimpunan Agung Umno 2013.

"Jika perlu pun naikkan elektrik, kenapa pengumuman dibuat hampir dengan pengumuman keuntungan TNB?" katanya merujuk kepada syarikat pembekal elektrik, Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Kerajaan telah mengumumkan kadar kenaikan tarif elektrik pada 1 Januari 2014 sebanyak 15%.

"Kenapa masa pengumuman pun tak boleh kawal?

"Lain kali maklumkan kepada ahli Umno dahulu supaya kita bersedia untuk berjuang," tambah Ketua Wanita Umno Kampar itu lagi.
 
PERKAHWINAN KANAK-KANAK

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tualang Sekah itu turut membangkitkan isu perkahwinan kanak-kanak yang menurutnya semakin serius sejak kebelakangan ini.

Jelas beliau, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah merekodkan berlaku sejumlah empat juta perkahwinan anak kecil dalam tempoh setahun.

Memetik laporan PBB tersebut, Nolee berkata, pada tahun 2011, sejumlah 900 perkahwinan kanak-kanak direkodkan di seluruh dunia, diikuti 1,022 pada 2012, dan sehingga Mei 2013, sejumlah 446 perkahwinan kanak-kanak direkodkan.

"Saya cukup malu majoritinya daripada kalangan Bumiputera."

"Saya mengharapkan agar jadikanlah ia isu yang diperjuangkan Wanita Umno. Kita kena pastikan ia tidak berleluasa menjadi penyakit," katanya lagi.

Justeru, Mahkamah Syariah jelasnya perlu mengambil pendekatan lebih baik bagi menangani perkara itu.

"Biarlah ini jadi perjuangan Wanita Umno. Mangsa yang terlibat bukan sahaja masalah sosial tetapi turut memberi kesan besar kepada ekonomi," katanya.

Sumber Berita Dari The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment