NGO gesa KDN segera dedah bukti Mat Sabu Syiah

OLEH DIYANA IBRAHIM

Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan bukti mengaitkan pemimpin nombor dua PAS, iaitu Mohammad Sabu (gambar) dengan fahaman Syiah seperti didakwa menterinya,Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusinya, Abdul Rani Kulup, berkata dakwaan yang dikatakan menteri tersebut adalah perkara serius sekiranya benar kerana ia bakal mengancam agama Islam di negara ini.

"Kita mahu KDN segera kemukakan bukti kerana sekarang ini kita hanya mendengar tuduhan tanpa bukti. Rakyat sekarang ini tertunggu-tunggu kerana kalau benar, maka tindakan perlu disegerakan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Abdul Rani berkata, sebagai sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan yang mendukung Malaysia sebagai sebuah negara Islam, beliau menuntut KDN dan pihak berkuasa yang lain menumpukan pelaksanaan dengan mengambil tindakan daripada hanya membuat tuduhan.

"Kita tidak mahu benda sebegini menular masuk ke dalam negara terutama perkara yang boleh menjejaskan keamanan negara."

"Kita tidak mahu fahaman ini akan meresap kepada pemikiran anak muda,” katanya.

Beliau turut menyelar penafian Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu kerana ia tidak disertakan dengan bukti.

"Sebagai NGO, kita tidak berpihak dengan mana-mana parti politik kerana apa yang kita tentang ialah fahaman Syiah."

“Penafian Mat Sabu juga perlu disertakan dengan bukti, barulah rakyat yakin,” katanya.

Isnin lalu, NGO membuat laporan polis berhubung dakwaan Ahmad Zahid yang menuduh Mat Sabu berfahaman Syiah dalam ucapan penggulungannya di Perhimpunan Agung Umno 2013.

Abdul Rani berkata, laporan polis yang dibuat di Balai Polis Dang Wangi menggesa polis menjalankan siasatan terhadap pemimpin PAS yang didakwa Ahmad Zahid sebagai pengikut Syiah.

Tuduhan itu mendapat perhatian Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menempelak pihak menyerang Syiah dengan berkata fahaman itu juga tidak kurang beza dengan nasionalis sekular.

"Saya tidak menyatakan Syiah tidak bahaya tetapi saya pelik apabila sang harimau tiba-tiba berlagak baik mengingatkan sekumpulan kambing tentang bahaya serigala."

"Baguslah kalau sang harimau tiba-tiba ingin menjadi baik tetapi sekurang-kurangnya bersihkan taring dan kuku terlebih dahulu daripada daging manusia," katanya.

Beliau juga mencabar pihak berkuasa supaya melakukan tangkapan dan tidak perlu berdolak-dalik jika mahu membanteras Syiah.

Sumber Berita Dari The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment