KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPMM) menyifatkan tindakan Umno mengundang Ketua Biro Politik Hamas Khaled Mesha'al ke perhimpunan agung parti itu baru-baru ini hanya sebagai 'main wayang' bagi menunjukkan parti itu dekat dengan isu Palestin.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, jika benar Umno isu Palestin, kenapa sejak sekian lama, tiada kenyataan rasmi dari kerajaan Malaysia mengiktiraf Hamas sebagai kerajaan sah di Gaza.

Katanya, sebagai sebuah parti yang memerintah tidak memadai dengan hanya menjemput tokoh besar Hamas ini menghadiri perhimpunan agung semata-mata sedangkan tindakan yang sepatutnya dilakukan ialah mengiktiraf Hamas sebagai sebuah pertubuhan yang sah di saat ianya dilabel sebagai kumpulan anti demokrasi dan juga mempunyai hubungan dengan rangkaian pengganas antarabangsa.

Lebih daripada itu lagi katanya Malaysia sepatutnya menjalinkan hubungan diplomatik dengan kerajaan Gaza yang dipimpin oleh Hamas, kerajaan yang sah yang dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya.

"Kami ingin menegaskan lagi, sekiranya Umno ikhlas dengan kehadiran Khaled Mesha'al dan Hamas, DPPM mencabar Kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengeluarkan kenyataan rasmi bagi mengiktiraf Hamas sebagai kerajaan yang sah di Gaza."

"Tanpa pengiktirafan ini, kami beranggapan Umno hanyalah mengeksploitasi Khalid Mesha'al sebagai alat agar Umno dilihat sebuah parti pro-Islam dan pro-Palestin di mata rakyat Malaysia beragama Islam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau lagi, banyak lagi pihak-pihak lain yang melakukan usaha-usaha di dalam memperjuangkan isu Palestin sama ada parti politik atau NGO, malah lebih dekat dengan Hamas sejak sekian lama.

Najib ketika ucapan penggulunganya semalam turut mendedahkan bahawa Khaled Mesha'al ada memberitahunya yang beliau hanya mengenali PAS berbanding Umno ekoran hubungan erat kedua-dua gerakan Islam itu sejak sekian lama.

Sumber Berita Dari Harakahdaily

No comments:

Post a Comment