(Dari kiri) Salahuddin, Mohamad, Mustafa dan Mahfuz pada sidang media di Pejabat Agung PAS, hari ini. (Foto: Nasir Sudin)

KUALA LUMPUR: PAS melantik Mohamad Sabu sebagai Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang bagi sesi 2013-2015.

Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali berkata, Muhamad dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang bagi menyelaraskan hubungan PAS dengan Pakatan Rakyat negeri itu bersesuaian dengan  jawatannya sebagai timbalan presiden.

"Mohamad Sabu anak Pulau Pinang dan sangat biasa dengan orang Pulau Pinang."

"Termasuk dalam konteks hubungan dengan Pulau Pinang, oleh kerana beliau timbalan presiden, beliau dapat bantu selaraskan hubungan PAS dengan Pakatan di sana," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut dekat sini hari ini.

Sementara itu, Mohamad memberitahu, berlaku perubahan bagi jawatan bendahari yang diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang pertama 1 Disember lalu.

Mesyuarat lepas memutuskan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob sebagai bendahari.

Namun Ahmad memohon melepaskan jawatan tersebut dan digantikan dengan Asmuni Awi.

"Datuk Ahmad Yakob mohon melepaskan jawatan bendahari kerana kesibukannya sebagai Menteri Besar Kelantan dan Pesuruhjaya Kelantan dan digantikan dengan Asmuni Awi," katanya.

Turut dilantik hari ini ialah tiga penolong setiausaha agung iaitu Datuk Takiyudin Hassan, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob.

Selain itu, PAS Pusat mewujudkan lajnah baru yang bertanggungjawab terhadap bencana alam atau kejadian yang berlaku secara tiba-tiba.

Naib Presiden, Salahuddin Ayub dilantik mengetuai lajnah ini.

"Pusat pengurusan kecemasan dan bencana diketuai Salahuddin Ayub dan dalam bentuk ad hoc apabila berlaku sesuatu bencana dan sudah jadi lajnah tetap PAS," katanya.

Sementara itu, kekosongan satu jawatankuasa ekoran pelantikan Asmuni sebagai bendahari diisi dengan Anuar Tahir sebagai pengerusi lajnah pekerja dan pengguna.

Sumber Berita Dari Harakahdaily

No comments:

Post a Comment