Mat Sabu saman Zahid Hamidi kerana tuduh Syiah

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK

Mat Sabu akan fail saman fitnah terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 17 Disember, 2013.Mat Sabu akan fail saman fitnah terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 17 Disember, 2013.Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu akan memfailkan saman fitnah kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas tuduhannya semasa Perhimpunan Agung Umno 2013 yang menuduhnya sebagai penganut fahaman Syiah.

Mohamad berkata, tindakan saman ke atas Ahmad Zahid diambil kerana kenyataan Menteri Dalam Negeri itu mencetuskan fitnah yang didasari niat jahat, menjatuhkan maruah dan integriti.

"Saya menyerahkan kepada panel peguam PAS untuk mengambil tindakan mahkamah ke atas Zahid di atas kenyataan beliau di perhimpunan agung Umno baru-baru ini."

"Beliau menuduh saya pemimpin Syiah dan mengaitkan Syiah adalah sesat dan mengancam keselamatan negara," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu berkata, Ahmad Zahid juga didapati menyalahgunakan kuasa apabila beliau sebagai Menteri Dalam Negeri memberi kuasa kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengambil tindakan ke atas dirinya.

Ahmad Zahid semasa membuat ucapan penggulungan di perhimpunan agung Umno awal bulan ini memberikan kuasa kepada Jakim untuk menahan pemimpin kedua tertinggi PAS kerana didakwa mengamalkan fahaman Syiah.

Naib Presiden Umno itu berkata, beliau sudah mengenal pasti perkara itu dan menyeru PAS untuk mengetepikan perbezaan politik, dan bersatu menentang ancaman Syiah kerana ini merupakan soal akidah dan keselamatan negara.

"Kita tak faham kenapa pilih pemimpin Syiah itu jadi orang nombor dua dalam PAS. Datuk Seri Jamil Khir, KDN beri kuasa ambil tindakan terhadap kepimpinan kedua parti itu," katanya merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang bertanggungjawab memegang portfolio agama.

Mohamad berkata arahan Ahmad Zahid merupakan satu bentuk penyalahgunaan kuasa kerana Jakim tidak terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, satu laporan polis akan dibuat berhubung arahan Ahmad Zahid itu dan beliau berharap polis bersikap profesional dan tidak berat sebelah berhubung kenyataan naib presiden Umno itu.

“Atas dasar apa KDN secara arbitrari memberi kuasa kepada Jakim untuk mengambil tindakan terhadap saya?” katanya yang selepas ini enggan mengulas lanjut berhubung isu itu dan menyerahkan kepada peguamnya.

Sementara itu, peguam kepada Mohamad, Hanipa Maidin berkata kenyataan KDN yang meminta Mohamad untuk menafi dan bersemuka adalah tidak relevan kerana menuduh tanpa bukti yang kukuh.

Katanya, saman yang dikemukakan khas ditujukan kepada Ahmad Zahid dan bukan kepada kerajaan kerana enggan mencetuskan permusuhan yang menurutnya kenyataan itu secara tiba-tiba tanpa menerima tekanan daripada pihak Mohamad.

“Deklarasi Amman Message yang ditandatangani kerajaan mengiktiraf Syiah daripada kumpulan Jaafariyah dan Zaidiyah serta mengakui ia sebahagian dari ajaran Islam.

“Turut sama dalam deklarasi itu adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kasim, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya yang menyifatkan pendirian pemimpin berkenaan berbeza ketika di dalam dan luar negara.

Hanipa berkata kenyataan KDN yang mempunyai bukti gred A dan gred B adalah tidak masuk akal kerana beliau tidak melihat peruntukan undang-undang yang boleh membuat pertuduhan kepada Mohamad di luar mahkamah.

Katanya, satu surat tunjuk sebab (LOD) akan dihantar kepada Ahmad Zahid bagi meminta pihaknya menarik balik kenyataan sebelum ini, membuat permohonan maaf dan membayar kos ganti rugi.

“Ahmad Zahid adalah pencetus kepada tuduhan ini dan beliau telah pun menyatakan kesediaan untuk hadir ke mahkamah."

"Surat tunjuk sebab akan dihantar dalam minggu ini dan tempoh masa tiga hari diberikan kepada beliau untuk menjawabnya," katanya yang menyifatkan terlalu awal untuk untuk menyatakan jumlah kerugian yang akan dituntut.

Sumber Berita Dari The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment