Linangan air mata mangsa banjir

ABD SHUKUR HARUN
Banjir sudah surut, hujan pun berhenti, cuaca cerah, matahari mulai bersinar, keluar dari tempat persembunyiannya, seperti memberikan harapan kepada mangsa banjir untuk meneruskan kehidupan.

Selepas surut, mangsa banjir merenung kemusnahan harta benda mereka di mana-mana. Ada yang menitiskan air mata, namun kehidupan mesti diteruskan. Inilah ujian Allah s.w.t. yang hebat. Bagi mereka yang beriman ujian ini dihadapi dengan sabar dan tabah.

Ketibaan hujan dan banjir besar selama seminggu di Pahang, Terengganu dan Johor itu tidak dijangka oleh ramai orang, walaupun mereka memiliki segala kecanggihan ilmu kaji cuaca dan sebagainya.

Banjir itu menghantar natijah dan hikmah yang besar, menyerlahkan betapa puluhan ribu banyaknya warga PAS dari hampir seuruh negara - dari Presiden hingga ahli cawangan, khususnya dari Unit Amal - telah bertungkus lumus menolong mangsa banjir sejak mula hujan hingga banjir melimpah.

Kinipun mereka terus bertugas membersihkan sampah saraf dan kemusnahan yang diakibatkan oleh banjir di samping memberi bahan makanan, pakaian dan sebagainya.  

Beribu-ribu banyaknya petugas PAS terus berkampung di kawasan yang ditimpa banjir besar itu. Ada yang mengambil cuti, yang bekerja sendiri terpaksa mengatur jadual kerja sendiri, ada yang pergi dan pulang bergantian dan pelbagai cara lagi.

Mereka menabur bakti di mana-mana dan bila-bika masa. Begitulah sifat pendukung jamaah Islam, seperti yang pernah disebut oleh Imam Hasan Al-Banna, “Pendukung jamaah Islam sifatnya seperti minyak wangi, sentiasa menebarkan bau harum dan menyenangkan, di manapun ia berada”.

Sebenarnya rakyat pelbagai kaum dan agama tahu akan kebaikan dan khidmat bakti PAS kepada rakyat sejak sekian lama. Malangnya, musuh-musuh politik PAS sentiasa menafikannya melalui misi propaganda mereka. Tidak akan muncul di media mereka, baik di TV mahupun di media  mereka walau satu minitpun akan kebaikan PAS dan sahabatnya dalam Pakatan Rakyat. Begitulah juga apa yang terjadi ketika banjir besar berlaku baru-baru ini dan kita sangat memahaminya.

Namun begitu, rakyat yang tidak tertutup pintu hati mereka, yang masih oleh berfikir secara rasional, yang jumlahnya ramai, tahu akan khidmat bakti PAS dan tahu akan keluhuran PAS.

Pemimpin PAS tidak duduk bersenang hati dan menjalani kehidupan mewah, menghadiri jamuan mewah dipelbagai majlis di sana sini, tidak naik kapalterbang ke sana kemari, segala-galanya terhidang, tetapi mereka berhujan dan berpanas, sama-sama bertungkus lumus membantu rakyat di medan banjir. Sekujur tubuh dibasahi hujan, inilah khidmat bakti kepada rakyat.


Terasa sayunya hati menyaksikan bagaimana kanak-kanak mangsa banjir, dalam keadaan lapar, menggigil kesejukan, berteduh di penjuru sebuah bangunan. Begitu juga melihatkan barisan mangsa banjir yang mengunyah makanan apa saja, untuk mengisi perut, di sebuah tempat penempatan mangsa banjir yang bersesak-sesak di Terengganu.

Juga sangat sayu menyaksikan bagaimana ibu tua merenung harta bendanya yang bertebaran di luar rumahnya selepas dirempuh banjir. Dan lebih sayu lagi menyaksikan seorang lelaki tua bertongkat, bersandar di sebuah rumah yang hampir roboh dipukul ribut dan banjir. Bagaimanakah hendak membina semula kehidupan, walaupun kehidupan mesti diteruskan. Inilah antara kisah sedih rakyat di kawasan banjir.

Kini, banjir sudah surut, tiada lagi hujan turun. Tetapi ada ramalan kemungkinan banjir kedua pula akan menyusul. Itu hanya ramalan dan apa yang perlu dilakukan ialah membuat persiapan yang cukup untuk menghadapinya. Dalam masa yang sama berdoa kepada Allah s.w.t. semoga tidak berlaku banjir kedua itu seperti yang diramalkan.

Selepas banjir ini, ada pula khabar yang sangat merunsingkan, bukan bunyi guruh dan hujan dari langit menghantar alamat banjir akan datang lagi, tetapi perkhabaran dari bumi, di mana harga barangan keperluan harian semakin meningkat. Harga makanan dijangka akan meningkat 10%, suatu jumlah yang tidak kecil bagi rakyat biasa, terutama yang berpendapatan rendah.

Menurut sebuah kenyataan Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), dijangkakan peningkatan sekurang-kurangnya 10 peratus bagi harga makanan dan minuman akibat kenaikan harga gula.

Pengarah Komunikasi Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, kadar kenaikan itu dijangka melibatkan jenis makanan siap di restoran dan kedai makan.

“Ada sesetengah kedai makan di Kuala Lumpur yang menaikkan harga makanan panas dan minuman. Nasi Goreng sehingga RM7 sepinggan. Ini kerana harga bahan masakan seperti gula dan bahan lain yang dibeli secara runcit oleh pemilik restoran telah meningkat,” katanya.

Kenaikan harga gula, turut mendorong kepada kenaikan harga barangan lain. Selepas ini kenaikan harga petrol dan terbaru pengumuman kerajaan menaikkan kadar tarif elektrik yang akan berkuatkuasa tahun depan.

Menurut Mohd Yusof harga barangan yang dipek dan bertin juga mungkin akan turut naik kerana gula adalah kandungan utama bahan makanan dan minuman.

Golongan paling terkesan akibat kenaikan ini sudah tentu golongan muda dan mereka yang tinggal di bandar. Ini kerana mereka bekerja sepanjang hari dan berada di pejabat. Mereka bergantung dan menjadi pengguna tetap,” tambahnya.

Sementara itu, Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz baru-baru ini berkata, beliau menjangkakan kadar inflasi negara kemingkinan meningkat daripada 2.8 kepada 3.0 peratus tahun depan ekoran kenaikan tarif elektrik yang diumum kerajaan.

Demikianlah sukarnya rakyat hendak meneruskan kehidupan dan semua ini menunjukkan bahawa jurang miskin kaya rakyat Malaysia semakin luas dan ini tidak baik bagi sebuah negara.

Rakyat biasa, bukan orang-orang besar, memang sangat terbeban dengan kos hidup yang demikian tinggi. Bukan saja mereka tidak mampu membeli rumah yang demikian mahal harganya, tetapi untuk menampung belanja harian untuk meneruskan hidup juga demikian sukar.

Untuk mengetahui semuanya ini pergilah meninjau kawasan kediaman rakyat biasa, bukan di kawasan elit di bandar-besar seluruh negara.
 
Sumber Berita Dari Blog KedahLaNie

No comments:

Post a Comment