KUALA LUMPUR: Peguam Karpal Singh turut meminta bantuan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu bagi mencari seorang anak guamnya Amir Bazli Abdullah yang sehingga kini gagal menghadirkan diri ke mahkamah, lapor The Malaysian Insider.

Ianya salah satu rangkaian politik yang terpaksa digunakan Karpal bagi mengesan Bazli yang masih terikat dengan kes tuntutan saman terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa menyerangnya.

Amir Bazli, yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan, gagal menghadirikan diri di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 5 Disember lalu untuk prosiding kesnya di hadapan hakim hingga menyebabkan peguamnya bimbang di mana ahli perniagaan itu berada kini.

Kehadiran Amir Bazli penting untuk memaklumkan kepada Hakim Vernon Ong mengenai terma penyelesaian kes membabitkan dirinya dan Ahmad Zahid.

Karpal yang juga Pengerusi DAP dipetik berkata, beliau mendapatkan bantuan Mohamad atau lebih dikenali dengan nama Mat Sabu kerana ahli politik itu mempunyai rakan dan ahli parti yang mungkin tahu di mana anak guamnya berada.

“Beliau berjanji untuk menghubungi beberapa rakannya dan ahli parti untuk mengesan anak guam saya yang perlu hadir di mahkamah hujung bulan ini,” katanya dipetik berkata.

Menurut Karpal, beliau ada menghantar surat surat berdaftar menerusi Pos Malaysia dan satu lagi nota menerusi firma kurier namun tidak mendapat balasan dari Amir Bazli.

Beliau juga mendakwa telah dimaklumkan bahawa Amir Bazli tiada di alamat itu dan juga tidak boleh dihubungi menerusi telefon, lapor porrtal itu lagi.

Peguam veteran itu berkata, sebelum 18 Julai, Amir Bazli boleh dihubungi dengan mudah menerusi telefon bimbit dan akan datang ke firma guamannya dalam tempoh singkat apabila diberitahu.

Karpal memohon penangguhan terakhir dan mahkamah membenarkannya. Hakim menetapkan 31 Disember ini dan berharap Amir Bazli akan hadir di mahkamah.

Sumber Berita Dari Harakahdaily

No comments:

Post a Comment