Isu longgokan sampah MRR2 berpunca ‘masalah dalaman’  kontraktor

OLEH DIYANA IBRAHIM

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini menjelaskan isu longgokan sampah yang berlaku di Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua (MRR2) hujung minggu lalu sebenarnya berpunca daripada "masalah dalaman" pihak pengurusan keluarga syarikat pemaju kata Datuk Ahmad Phesal Haji Talib.

Datuk Bandar Kuala Lumpur itu  turut menafikan dakwaan pembangkang yang mengkritik DBKL kerana memberikan kontrak pengurusan sampah kepada syarikat yang tidak berpengalaman.

Beliau menegaskan pihak pemaju, Umpan Jaya Sdn Bhd adalah syarikat kontraktor yang sangat diyakini, berpengalaman, dan berpengaruh di Pulau Pinang.

"Saya boleh jamin sendiri memang syarikat tersebut sangat diyakini dan berpengalaman di Pulau Pinang."

"Namun kerana pengarahnya Mohd Noordin Mohd Kassim  meninggal dunia Februari 2013 lalu maka berlaku kekacauan dalam pengurusan pentadbiran apabila syarikat yang diserahkan kepada anak-anaknya tidak dapat menjalan tugas seperti ketika arwah bapa mereka mentadbir," katanya dalam satu sidang media di Bangunan DBKL, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau antara lain turut menafikan kontrak yang diberikan kepada syarikat tersebut berdasarkan kepentingan politik kerana sepanjang pengetahuannya, kontrak berkenaan ditawarkan melalui tender terbuka.

Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming hari ini mendakwa kontraktor yang bertanggungjawab dalam isu longgokan sampah di MRR2 itu dimiliki bekas Ketua Bahagian Umno Batu Kawan.

Tambahnya, Umpan Jaya adalah kontraktor yang diberi kepercayaan oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai untuk menguruskan sisa pepejal di daerah tersebut.

Beliau pada masa sama turut mengakui masalah dalaman syarikat kontraktor tersebut telah lama berlaku iaitu semenjak Jun tahun lepas.

"Perkara ini sudah lama berlarutan, sejak Jun tahun lepas. Bagaimanapun ia menjadi kritikal pada akhir penyerahan kontrak kerana itu apabila saya tahu masalah tersebut, kita telah mengadakan mesyuarat bersama pihak pemaju bagi menangani isu tersebut," katanya.

Namun katanya buat masa tiada sebarang tindakan dapat diputuskan ke atas kegagalan Umpan Jaya menguruskan sampah kerana DBKL perlu meneliti semula syarat-syarat yang terkandung dalam kontrak perjanjian tersebut.

Sementara itu, Ong turut membidas DBKL kerana memberikan kontrak tersebut walaupun syarikat berkenaan tiada pengalaman dalam menguruskan pusat pemindahan sampah.

"Mengapakah Umpan Jaya, kontraktor am, dianugerahkan kontrak ini pada 2011 walaupun rekodnya tidak baik? Daripada laman webnya, mereka tidak mempunyai kepakaran dalam mengurus atau mengendalikan stesen pemindahan," katanya.

Ong berkata, pihak berkuasa digesa menyiasat syarikat Umpan Jaya dan membawa pihak bersalah ke muka pengadilan.selain mahu kontrak selepas ini diberikan secara kontrak terbuka dan tidak hanya menganugerahkannya kepada Alam Flora.

Sabtu lalu media melaporkan gara-gara Pusat Pemindahan Sampah di Taman Beringin ditutup awal kerana kerosakan mesin pemampat, kira-kira 2,000 tan sampah dilonggok di bahu jalan MMR2 berhampiran Kepong.

Longgokan sampah itu menyebabkan kesesakan jalan yang teruk di lebuh raya berkenaan selain penduduk dan pengguna jalan raya terpaksa menghidu bau yang meloyakan.

Sumber Berita Dari The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment