MERU: Ramai yang menyangka Adun Meru Dr Abd Rani Osman hanya akan terperuk di rumah kecewa, sedih dan hilang semangat apabila diumumkan tidak lagi menjadi Pesuruhjaya PAS Selangor.

Namun tanggapan itu jauh sekali dan tersasar.

Malah semalam, beliau mengadakan kenduri di Markas PAS Bukit Kapar untuk melahirkan rasa syukur kerana tidak perlu lagi memikul amanah berat sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor yang disandangnya sesi lalu.

Kenduri dengan menu istimewa kambing bakar itu turut dihadiri Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali selaku tetamu khas pada majlis itu.

Mustafa dalam ucapannya berkata, biarpun Dr Rani 'bebas' dari jawatan pesuruhjaya, namun PAS masih menagih sumbangannya untuk membantu parti selaku Adun Meru.

“Saya tanya Dr Rani sebelum datang majlis ini, apakah majlis petang ini. Dr Rani jawab, majlis kesyukuran selepas berjaya dibebaskan oleh pesuruhjaya."

“Dr Rani ini dikira naik jawatan. Daripada penjara ke bebas. Tapi kami tak akan bagi Dr Rani bebas daripada Dun Meru,” kata Mustafa sambil berseloroh semalam.

Pada mesyuarat pertama AJK PAS Pusat sesi 2013/15, 1 Disember lalu, Exco Selangor Ir Iskandar Abdul Samad dinamakan sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor yang baru menggantikan Dr Rani.

Perkara itu diumumkan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan media berhubung perlantikan Anggota Dewan Harian, Jawatankuasa Tambahan dan Pesuruhjaya Negeri.

Ketika Muktamar Tahunan PAS ke-59 di Shah Alam November lalu, Dr Rani dalam ucapan penangguhannya turut menggesa agar tempatnya sebagai Pesuruhjaya Negeri Selangor diganti oleh orang lain yang lebih layak.

Sementara itu, dalam ucapan semalam juga Mustafa memberitahu, Dr Rani sebelum ini telah menghantar surat kepada Presiden PAS untuk memohon memilih orang yang lebih layak ke jawatan itu.

Malah Dr Rani juga ada memintanya menyatakan sebab kenapa beliau harus dikekalkan ke jawatan itu.

“Biasanya orang yang nak kena pecat ini baru minta sebab. Ini nak kekal jawatan pun nak minta sebab. Ini lainnya Dr Rani ini,” kata Mustafa.

 Dr Rani dalam ucapannya pula berkata, beliau telah dihubungi Iskandar selepas perlantikan baru dibuat oleh Presiden PAS.

"Dia (Iskandar) tanya saya, bolehkah beliau menolak pelantikan pesuruhjaya itu."

"Saya kata mana boleh,” katanya sambil ketawa.

 Dalam pada itu, mengulas kerjanya dalam parti selepas ini, Dr Rani berkata perjuangan beliau masih belum selesai.

"Kita kena fokus kepada usaha mahu ke Putrajaya. Musuh kita sekarang adalah Umno. Kita kena ingat itu," katanya.

Sumber Berita Dari Harakahdaily

No comments:

Post a Comment