KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad (gambar) berharap bekas Ahli Exco Negeri Perak, Datuk Hamidah Osman akur dengan keputusan ketiga-tiga hakim Mahkamah Rayuan berhubung saman fitnahnya.

Walaupun Hamidah boleh membuat rayuan terhadap kes itu namun Khalid percaya ketiga-tiga hakim telah berjaya membuktikan beliau difitnah.

"Perkara sudah jelas dan diputuskan, ketiga-tiga hakim sudah menilainya  memang fitnah. Mungkin ianya sukar untuk Hamidah kemukakan rayuan selepas ini," katanya kepada Harakahdaily.

Bagaimanapun katanya, jumlah yang perlu dibayar oleh Hamidah sebanyak RM50,000 itu hanya merangkumi kos guaman tidak termasuk pampasan fitnah yang belum ditetapkan lagi.

Khalid turut bersyukur beberapa kes mahkamah yang dihadapinya selesai dengan memihak kepadanya dan kini hanya satu kes sahaja yang belum selesai iaitu kesnya dengan Datuk Dr Hasan Ali.

Semalam, Mahkmah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Mohd Ariff Yusof bersama Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim sebulat suara memutuskan bahawa, kandungan artikel yang bertajuk 'Umat Islam Perlu Bersatu' yang diterbitkan di laman blog Hamidah, http://hamidahosman.blogspot.com memfitnah Khalid.

Artikel tersebut turut memaparkan gambar "super impose" Khalid memakai pakaian paderi kristian yang mengandungi lambang salib dan juga memegang staff yang juga mengandungi lambang salib.

Khalid diwakili oleh Mohamed Hanipa Maidin dan Azhana Mohd Khairudin.

Manakala Hamidah diwakili oleh Wan Azmir Wan Majid dan Nor Emelia Iszeham daripada Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Writ Saman difailkan pada 23 Disember 2011 lalu manakala keputusan Mahkamah Tinggi pada 2 Julai 2013.

Mahkamah Rayuan juga memutuskan tuduhan tuduhan di perenggan 8, 12 dan 16 artikel Hamidah adalah fitnah ke atas Khalid dan Mahkamah Tinggi tersilap apabila memutuskan ianya tidak memfitnah Khalid.

SumBer Berita Dari Harakahdaily

No comments:

Post a Comment