Khalid (kiri) bersama pemimpin Pakatan Rakyat menyertai bantahan kenaikan cukai pintu oleh DBKL.

KUALA LUMPUR: PAS akan memberi fokus untuk menggerakkan himpunan rakyat pada tahun hadapan bagi mendesak kerajaan menarik balik hasrat dan keputusan melaksanakan GST dan TPPA serta membantah kenaikan cukai taksiran DBKL.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad berkata, selepas selesai urusan muktamar parti itu baru-baru ini, PAS kembali memberi tumpuan yang serius kepada isu-isu rakyat khususnya isu kenaikan cukai taksiran Dewan bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berkata, PAS tidak akan berdiam diri dalam isu ini kerana kenaikan cukai taksiran ini akan memberi kesan lain kepada warga kota.

"Dalam kes kenaikan cukai taksiran ini, akan ada kesan kepada kos perniagaan, kos kehidupan dan barangan kerana akhirnya peniaga akan berusaha untuk dapat balik keuntungan dan akan menyebabkan mereka manikkan harga barangan."

"Lebih-lebih lagi dengan kenaikan harga minyak, elektrik dan sebagainya, akan menyebabkan harga barangan seharian akan turut dinaikkan dan kesannya kepada pengguna."

"Memang kita akan gerakkan rakyat kerana selepas pilihan raya, PAS 'cool' sekejap kerana sibuk dengan muktamar dan selepas semua itu selesai kita akan tumpu menggerakkan rakyat untuk isu kenaikan kos hidup ini," kata beliau ketika ditemui di himpunan membantah kenaikan cukai taksiran DBKL di hadapan bangunan DBKL, dekat sini pagi tadi.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Saudara Kamaruzaman Mohamad ketika berucap meminta Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan bin Tengku Mansor tidak bermain wayang apabila membicarakan isu kebajikan warga kota.

"Kenaikan cukai taksiran sekitar 300% adalah satu perkara yang amat melampau, ianya jelas menunjukkkan bahawa kerajaan Umno BN langsung tidak memperdulikan penderitaan warga kota"

"Warga kota sedih dengan tindakan DBKL ini,  mereka juga turut dibebani dengan kenaikan kos kehidupan di ibu kota, kenaikan harga minyak ditambah pula dengan desas-desus kenaikan tol dan tambang pengangkutan"

Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan, Nazmi Nik Din juga turut berkongsi pandangan yang sama dengan menyifatkan tindakan menaikkan cukai taksiran ini sebagai wajar dalam situasi sekarang.

"Di mana slogan 'rakyat diutamakan'?  Adakah ini balasan kerajaan BN terhadap mandat yang telah diberikan kepada mereka ? Kerajaan Bn ibarat Habis madu sepah dibuang " tegas beliau yang juga ditemui selepas penyerahan borang dan surat bantahan kepada pihak DBKL.

Sementara itu, lebih 500 warga Kuala Lumpur berhimpun menyatakan bantahan terhadap kenaikan cukai taksiran DBKL hari ini.

Himpunan itu turut disusuli dengan penyerahan 20,000 surat bantahan dari warga kota oleh Ahli-ahli Parlimen Wilayah Persekutuan dari Pakatan Rakyat.

Mereka melaungkan slogan 'Turun Datuk Bandar' dan 'Rakyat bantah kenaikan cukai pintu oleh DBKL' sambil membawa taksiran cukai yang dikeluarkan DBKL.

Hadir sama Ahli Jawatan PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Ir Khairil Nizam Khairuddin, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Tian Chua (Batu), Teresa Kok (Seputeh), Tan Kok Wai (Cheras), Fong Kui Lun (Bukit Bintang) selain pimpinan PAS Kawasan Batu dan Bukit Bintang.

Sumber Berita Dari Harakahdaily

No comments:

Post a Comment