Benarkah Ada Perhimpunan Nak Gulingkan Kerajaan?

Kuala Lumpur - Polis meminta seorang individu yang gambarnya tertera dalam satu poster menyeru semua rakyat Malaysia untuk menyertai Himpunan Guling Kerajaan di Dataran Merdeka pada 31 Disember ini, untuk tampil segera membantu siasatan.

Poster terbabit yang menampilkan wajah seorang lelaki berkaca mata hitam dan mengikat kain berwarna kuning di kepala, dikesan tersebar di internet sejak semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya berharap individu yang wajahnya tertera pada poster berkenaan dapat menyerah diri secepat mungkin.

"Kita perlukan dia untuk membantu siasatan bagi memastikan, adakah dia yang membuat hebahan tersebut atau gambarnya disalah guna oleh individu lain.

"Kita perlu memastikan perkara ini terlebih dahulu kerana sejauh mana kesahihan seruan memanggil anak-anak muda menyertai himpunan tersebut belum diketahui," katanya selepas Majlis Penyerahan Cek Derma Pengajian Anak-anak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak RM30,000 daripada Persatuan Komuniti Korea di negara ini yang disampaikan melalui Duta Korea ke Malaysia, Cho Byung Jae, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun memandang serius perkara tersebut kerana jika ia benar (himpunan), mereka yang terlibat boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 124 C Kanun Keseksaan kerana melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Menurutnya, siasatan juga akan dibuat mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 Sosma kerana ia melibatkan kesalahan keselamatan.

Menurutnya, satu laporan polis juga dibuat semalam dan pihaknya sudah mengambil langkah-langkah proaktif berhubung perkara tersebut.

"Orang awam dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan kenyataan atau perkara yang cuba dilakukan pihak penganjur.

"Kita melihat perkara ini sebagai satu ancaman serius kepada negara. Kita akan pantau dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat," katanya.

Khalid berkata, sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung perkara tersebut diminta menghubungi Asisten Superintendan N Krishnamoorthy di talian 03-22666178 atau 019-29992694 bagi membantu siasatan. -SH

ULASAN GB

Betulkan ada perhimpunan nak gulingkan kerajaan?

Nampaknya setiap kali hendak diadakan perhimpunan rakyat setiap kali itu ada momokan bahawa ada pihak tertentu yang nak buat perhimpunan untuk mengguling kerajaan.

Yang agak menarik pihak polis menunjukkan ada gambar poster "suspek" yang menyeru kepada demonstrasi berkenaan. Kita tak tahu daripada mana polis perolehi gambarnya sebab ianya tak pun tersebar di laman sosial seperti facebook, twitter, blog dsbnya. Jika tidak sudah pasti susah gegak gempita alam siber ini dengan seruan tersebut.

Kerajaan yang ada tidak perlu digulingkan oleh rakyat. Hukum kebenaran dan keadilan akan berjalan dimana sesebuah kerajaan akan terguling dengan sendirinya apabila ia sudah tidak layak untuk memerintah negara.

Olehi itu tidak ada perhimpunan untuk menggulingkan kerajaan. Yang ada ialah satu perhimpunan membantah kenaikan kos hidup, bukan perhimpunan untuk menggulingkan kerajaan, seperti laporan di bawah ini:
Pakatan, aktivis, rancang demonstrasi raksasa Hari Buruh bantah kenaikan kos kehidupan

Demonstrasi raksasa untuk membantah kenaikan kos kehidupan, rasuah dan pembaziran kerajaan sedang dirancang Pakatan Rakyat (PR) dan kumpulan aktivis kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu malam tadi.

Demonstrasi raksasa 1 Mei akan menjadi kemuncak kepada bantahan kecil-kecilan di seluruh negara oleh pemimpin PR selepas kerajaan mengumumkan Bajet 2014 pada Oktober.

Langkah ini dilihat untuk mengulangi kejayaan perhimpunan Bersih pada 2007 yang turut dirancang enam bulan sebelum perhimpunan pada ketika itu.

Bantahan kecil-kecilan disasarkan untuk membangkitkan sentimen kemarahan terhadap apa yang mereka dakwa sebagai percubaan Barisan Nasional (BN) untuk menutup kelemahan menguruskan ekonomi dengan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan mengurangkan subsidi.

Menurut Mohamad, demonstrasi itu akan dianjurkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan akan disokong oleh parti PR seperti PAS, DAP dan PKR. Bagaimanapun, tempat demonstrasi masih belum ditetapkan.

“Kami akan menganjurkan demonstrasi pada Hari Buruh untuk meraikan golongan pekerja. Peningkatkan kos kehidupan dan GST akan menjejaskan golongan pekerja.

“Rakyat mesti dididik tentang bebanan yang diberikan kerajaan dengan cukai baru dan pengurangan subsidi,” kata Mohamad semasa wawancara di pejabat Radio Bangsar Utama di Kuala Lumpur malam tadi.

“Ini berlaku semasa rasuah dan pembaziran berterusan. Pada ketika isteri Perdana Menteri menggunakan dana awam untuk keluar negara dan jabatan kerajaan membelanjakan RM3,000 untuk membeli jam dinding yang berharga RM100.”

Menurut Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu itu, beliau akan menjelajah ke seluruh negara untuk mendapatkan sokongan untuk menjayakan demonstrasi raksasa itu.

Menurut Mohamad, satu perhimpunan awal akan diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur malam esok.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan harga tol di 15 lebuh raya di Lembah Klang akan meningkat tahun hadapan sebaik sahaja mereka mengumumkan kenaikan tarif elektrik dan harga pengangkutan awam.

Ini merupakan tindakan susulan selepas mereka mengurangkan subsidi petrol dan gula yang menyebabkan kenaikan harga kedua-dua barang itu dan memperkenalkan GST pada 2015.

Semalam, Merdeka Center mengumumkan kajian terbaru penilaian penerimaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak jatuh mendadak daripada 62% pada Ogos 2013 kepada hanya 52% pada Disember.

Kajian itu dibuat selepas pemotongan subsidi minyak dibuat oleh kerajaan pada September 2013, pembentangan Bajet 2014 yang memperkenalkan GST dan kenyataan peningkatan tarif elektrik mulai Januari 2014.

Dalam perkembangan berkaitan Mohamad mengatakan Bersih juga akan menganjurkan demonstrasi besar-besaran untuk menuntut pilihan raya bebas dan adil pada tahun hadapan.

“Saya difahamkan pengerusi baru Bersih sedang menyusun pasukannya. Sebaik sahaja selesai, mereka akan mula  merancang demonstrasi yang mungkin akan diadakan tahun hadapan atau tahun berikutnya.”
-TMI
Sumber Berita Dari Blog Kelab Greenboc

No comments:

Post a Comment