Bank Dunia dedahkan Putrajaya jual aset negara untuk capai sasaran defisit, kata PKR

OLEH MD IZWAN

Rafizi Ramli dakwa Putrajaya jual aset negara untuk capai sasaran mengurangkan hutang negara. Gambar fail.Rafizi Ramli dakwa Putrajaya jual aset negara untuk capai sasaran mengurangkan hutang negara. Gambar fail.PKR mendakwa Putrajaya menjual aset negara untuk mencapai sasaran mengurangkan hutang negara tetapi rakyat pula terpaksa berdepan dengan tekanan kos barang yang naik mendadak.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa langkah tersebut diambil bertujuan menurunkan defisit ke paras 4% daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang ditetapkan pentabdiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Lebih memeranjatkan, perdana menteri dilaporkan akan mengambil jalan menjual aset negara dan menerbitkan lebih banyak sekuriti hutang daripada aset negara semata-mata untuk menutup kegagalan pentadbiran ekonomi beliau mencapai sasaran defisit yang beliau sendiri tetapkan," katanya.

Rafizi berkata, pendedahan tersebut boleh diperoleh dalam laporan terkini Bank Dunia, "Malaysia Economic Monitor: December 2013" yang dikeluarkan baru-baru ini.

Laporan Bank Dunia mendedahkan pendapatan kerajaan Malaysia akan dijana termasuk RM1.4 bilion daripada aktiviti penjualan aset dan RM4.2 bilion daripada sekuriti hutang daripada aset-aset negara (securitization of government mortgages).

"Ini adalah pendedahan yang cukup mengejutkan kerana pentabiran Najib sudah sampai ke peringkat menjual aset negara dan mencagarkan harta negara melalui securitization of government mortgages untuk menampung keborosan pembaziran kerajaannya."

"Saya syak rancangan menjual aset negara ini sudah pun berlaku kerana ia bertujuan mencapai sasaran defisit 4% bagi 2013 yang sebenarnya gagal," katanya.

Bagaimanapun, Rafizi tidak mendedahkan sebarang butiran lanjut mengenai aset yang dijual, tetapi akan mengemukakan cadangan supaya satu sidang Parlimen tergempar diadakan bagi membincangkan perkara tersebut.

"Saya memandang serius perkara ini dan akan menggesa satu sidang Parlimen tergempar dipanggil secepat mungkin untuk membincangkan kepincangan pentadbiran ekonomi Najib."

"Perkara ini akan saya bawa dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat malam ini supaya permohonan sidang tergempar Parlimen boleh dibuat secepat mungkin," katanya.

Putrajaya selepas berakhir Pilihan Raya Umum ke-13 lalu mengambil langkah pengukuhan fiskal bagi memastikan sasaran untuk mencapai defisit fiskal dalam lingkungan 3% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2015 dan bajet berimbang menjelang 2020.

Putrajaya mengambil langkah fiskal pertama dengan memotong subsidi petrol sebanyak 20 sen pada September lalu atas alasan ia mampu menjimatkan kira-kira RM1.1 bilion belanja kerajaan tahun ini.

Kemudian, semasa pembentangan Bajet 2014 Putrajaya juga mengumumkan penghapusan subsidi gula sebanyak 34 sen di samping penstrukturan semula subsidi kepada penjana kuasa yang menyebabkan tarif elektrik bakal naik sebanyak 15 peratus.

Selain itu, Putrajaya juga akhirnya memperkenalkan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) yang akan berkuatkuasa pada 2015 bertujuan memperluas sumber pendapatan negara.

Khabar angin juga mengatakan dalam masa terdekat kadar tol di ibu kota juga akan distrukturkan bagi mengelak kerajaan menanggung kerugian daripada membayar konsesi.

Malaysia mengalami defisit fiskal selama 15 tahun berturut-turut, hutang negara meningkat kepada 53.3 peratus dalam KDNK pada penghujung 2012 daripada 51.6 peratus pada hujung 2011 dan 39.8 peratus pada hujung 2008.

Sumber Berita Dari The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment