KUALA LUMPUR: Biarpun usul tergempar berkaitan banjir yang dibawa oleh Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh menimbulkan suasana kecoh di dewan, ia tetap dianggap sabagai kejayaan kerana segera mendapat respons daripada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Fuziah yang mengemukakan usul tergempar di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) memohon jasa baik Yang DiPertua Dewan meluluskan usulnya walaupun beliau tidak memberi notis dua hari.

Bagaimanapun, usul tersebut tidak diluluskan kerana melibatkan masalah teknikal iaitu setiap usul mempunyai format tertentu seperti teks usul.

"Yang Berhormat, bukan terus berdiri mengemukakan usul ia mesti ada teks," tegur Yang DiPertua Dewan Tan Sri Pandikar Amin.

Fuziah yang mempertahankan usul tergemparnya kerana keadaan banjir di Kuantan semakin teruk dan memerlukan bantuan segera daripada kerajaan.

"Saya mendapat panggilan bertalu-talu daripada rakyat di Kuantan meminta bantuan segera jam tiga pagi tadi. Saya telefon Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk hantar bantuan makanan dan keperluan tetapi ia tidak berhasil," katanya di dalam dewan.

Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Raden pula bangun mencelah kemudian menggesa Fuziah agar balik ke kawasanya dengan segera bukannya berada di dalam dewan ketika ini.

Dengan asakan Fuziah itu, akhirnya Shahidan Kassim bangun menjelaskan bahawa kerajaan sudah menghantar bantuan makanan dan keperluan kepada mangsa banjir yang terkepung di Kuantan dengan helicopter pada pagi ini.  

Dalam sidang media selepas itu, Fuziah memaklumkan mangsa banjir di kawasannya sejak jam 3 pagi tadi tidak mendapat sebarang bantuan malahan ada yang terpaksa menyelamatkan diri di atas bumbung rumah.

"Mereka terputus hubungan, elektrik diputuskan. Keadaan semakin parah ada yang terpaksa harungi air paras leher mencari tempat perlindungan."

"Bot tidak ada pasukan penyelamat tidak sampai, ada yang tidak menjamah makanan sejak jam 4 petang semalam. Mereka yang menjadi mangsa ibu bersalin, orang tua uzur, kanak-kanak yang berkhatan, dan macam-macam lagi," katanya.

Fuziah juga kesal kerana kerajaan tidak bersedia sebarang kemungkinan yang berlaku memandangkan berdasarkan rekod sebelum ini Kuantan selalu ditenggelami air apabila tiba musim tengkujuh.

"Tiap-tiap tahun di Kuantan ada rekod sepatutnya kerajaan bersedia dengan tilam, biskut, susu anak, air minuman dan pampers serta sanitary. Seharusnya benda-benda ini sudah ada," katanya.

Beliau juga kecewa apabila Majlis Keselamatan Negara bencana alam tidak pernah menjemput beliau untuk mengadakan perbincangan berhubung masalah banjir di kawasannya.

"Pegawai kerajaan yang terlibat tidak mahu berjumpa dengan kita. Dan saya percaya ini sebagai politik dendam bagi memberi gambaran rakyat bahawa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak buat kerja," katanya.

Sumber Berita Dari Harakahdaily

No comments:

Post a Comment