KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini gamat dengan ketawa hadirin apabila Pengarah Besar Felda Datuk Faizoull Ahmad (gambar) yang tidak tahan dengan asakan peguam defendan Mohamed Hanipa Maidin lantas menuduh peguam itu cuba 'memerangkap' beliau.

"Awak cuba 'trick' saya," katanya kepada Hanipa membuatkan mahkamah gamat dengan ketawa.

Hanipa ketika menyoal balas Faizoull inginkan jawapan sama ada beliau bersetuju bahawa Felda memang mempunyai hubungan dagang dengan Israel memandangkan anak syarikat Kumpulan Felda, Felda Iffco Oil Products Sdn Bhd mempunyai hubungan perniagaan dengan Bunge Agribusiness Singapore Ptd Ltd.

Menurut Hanipa, sebuah syarikat perkapalan antarabangsa, DGS Foreign Trading (Shipping) Ltd dalam laman webnya telah menyenaraikan Bunge sebagai syarikat pembekal kepada Israel.

"Apabila Felda Iffco ada hubungan (perniagaan) dengan Bunge bemaksud ia ada hubungan (perniagaan) dengan Israel," ujar Hanipa.

Reaksi spontan Faizoull itu membuatkan Hanipa memohon mahkamah berhenti rehat dan dipersetujui Hakim Lee Hen Chong.

Faizoull ialah saksi pertama pihak Felda dalam saman fitnahnya terhadap Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman dan enam yang lain berikutan berita yang disiarkan Harakah dan Suara KeADILan yang mengkritik urus niaga minyak sawit Felda dengan Israel.

Selain Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, turut dinamakan dalam writ saman Felda ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman, Pengarang Harakah, Taufek Yahya, wartawan Mohd Arif Atan, syarikat pencetak Harakah, Angkatan Edaran Ent. Sdn. Bhd. dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Defendan diwakili Mohamed Hanipa, William Leong, Nasar Khan Mirbas Khan dan Azhana Mohd Khairuddin manakala kumpulan peguam plaintif diketuai Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Ketika disoal balas Hanipa apabila sesi perbicaraan disambung pada sebelah petang, Faizoull beberapa kali menafikan kaitan Felda dengan syarikat-syarikat milik Felda khususnya Felda Global Venture Berhad (FGVB) dan Felda Iffco.

Malah beliau mendakwa urusan perniagaan anak syarikat Felda tiada kena mengena dengan portfolio beliau yang "melihat dan melaksanakan tugas Felda sebagai agensi pembasmi kemiskinan dan memberi tanah kepada peneroka".

Faizoull juga mengaku "tidak ambil tahu" terhadap urusniaga yang dilaksanakan anak syarikat Felda dan beberapa kali menyatakan bahawa Felda dan Kumpulan Felda (serta anak-anak syarikatnya) adalah dua entiti yang berbeza.

Walaupun dibantah peguam plaintif, hakim bagaimanapun menerima pandangan Hanipa bahawa Kumpulan Felda dan anak-anak syarikatnya  mempunyai kaitan dengan Felda dan menerima semua dokumen berkaitan sebagai exhibit.

Perbicaraan yang sepatutnya disambung esok ditangguh ke satu masa yang akan ditetapkan kemudian ekoran peguam Mohd Hafarizam terlibat dalam perbicaraan petisyen pilihan raya umum.

Sumber Berita Dari Harakahdaily

No comments:

Post a Comment