Anwar tuduh Shafee mendakwanya demi kejar cita-cita jadi Peguam Negara

OLEH V ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA

Datuk Seri Anwar Ibrahim dakwa peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak mampu berlaku adil dalam kes liwatnya. Gambar fail.Datuk Seri Anwar Ibrahim dakwa peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak mampu berlaku adil dalam kes liwatnya. Gambar fail.Datuk Seri Anwar Ibrahim menuduh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengambil peranan sebagai timbalan pendakwa raya (DPP) dalam rayuan kes liwatnya dengan harapan untuk menjadi bakal Peguam Negara.

Ketua pembangkang itu berkata, ramai di kalangan ahli politik dan pengamal undang-undang di Kuala Lumpur tahu bahawa Shafee secara terbuka menyatakan cita-citanya untuk menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara.

“Ini menjelaskan mengapa Shafee begitu kritikal terhadap Gani dalam akuan berkanun (Datuk Mat Zain Ibrahim),” katanya dalam afidavit kedua menyokong permohonan mengapa Shafee patut diketepikan daripada bertindak sebagai DPP dalam kes liwat.

Beliau berkata, barisan pendakwa tidak akan dapat mengendalikan kes itu dengan adil kerana Shafee cenderung dan berpihak kepada perdana menteri serta pemimpin kanan kerajaan yang lain dengan memastikan mereka tidak disabitkan dengan apa-apa kesalahan, supaya peguam Umno itu boleh dianugerahkan jawatan Peguam Negara yang amat diidamkan itu.

Anwar memfailkan afidavit itu semalam dan permohonan akan didengar di Mahkamah Rayuan pada Khamis ini.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, keinginan Shafee untuk memastikan Putrajaya memenangi rayuan itu sangat tinggi dan ia mungkin akan menjejaskan tanggungjawabnya sebagai ketua DPP dalam kes itu.

“Konflik kepentingan seperti itu akan hanya menjejaskan pentadbiran keadilan. Ia sudah tentu akan prejudis terhadap saya ketika perbicaraan rayuan itu nanti,” kata ketua pembangkang berusia 66 tahun itu.

Anwar dibebaskan tahun lalu atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di sebuah unit kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara pada 2008.

Beliau berkata, permohonannya untuk mengenepikan Shafee buat kali kedua dilakukan berdasarkan kepada pendedahan mengejutkan dalam akuan berkanun Mat Zain.

Anwar berkata, akuan itu menimbulkan isu serius terhadap pengetahuan Shafee mengenai tuduhan salah laku dan tindakan jenayah Gani dan peguam terpaksa berkompromi bagi memperolehi fiat (perintah) daripada Gani.

Dalam afidavitnya di samping laporan polis yang dibuat oleh Mat Zain terhadap Shafee, beliau berkata, afidavit peguam kepada Mahkamah Rayuan mengandungi fakta tidak tepat dan ia adalah kesalahan jenayah.

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur itu membuat laporan di Balai Polis Setapak pada Ahad.

Dalam laporannya, Mat Zain mendakwa Shafee melakukan sekurang-kurangnya dua kesalahan mengikut Kanun Acara Jenayah, dengan yang pertama ialah membuat kenyataan palsu dalam afidavit.

Beliau mendakwa, Shafee turut menyembunyikan bukti material dengan niat untuk memperdaya mahkamah.

Dalam 31 halaman akuan berkanunnya, Mat Zain berkata beliau bersama Shafee dan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Ramli Yusof ke rumah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Aidilfitri lalu dan mereka dikatakan berbincang mengenai salah laku Gani.

Shafee memfailkan afidavit balas kepada permohonan Anwar untuk menggugurkan kelayakan peguam itu daripada mewakili Putrajaya sebagai DPP dalam permohonan kerajaan terhadap pembebasan Anwar bagi tuduhan kedua meliwat.

Shafee berkata, beliau memfailkan afidavit itu untuk menjelaskan apa yang berlaku di firma guamannya dan di rumah dr Mahathir.

Beliau tetap menyatakan bahawa Mat Zain “mencondongkan” kenyataannya dalam akuan berkanunnya bertarikh 7 Oktober.

Peguam itu turut mendakwa cubaan Anwar sekali lagi untuk mengenepikannya sebagai DPP adalah untuk melengahkan permohonan Putrajaya terhadap pembebasannya daripada tuduhan meliwat.

Sumber Berita Dari The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment