KUALA LUMPUR: Jabatan Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia, Dewan Pemuda PAS Malaysia (Juham) menempelak tindakan pihak polis yang membuat tangkapan terhadap rakyat yang ingin berhimpun secara aman pada 31 Disember ini bersempena protes kenaikan harga barang.

Terbaru, pihak polis telah menangkap Pengerusi Gerakan Turun Harga Barang (Turun), Azan Safar pada 23 Disember di mana siasatan adalah berdasarkan kepada Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Awam 2012 dan Seksyen 124C Kanun Keseksaan.

“Juham melalui barisan peguamnya telah turun untuk membantah permohonan lanjutan reman oleh pihak polis,” kata Pengarah Juham, Noorazmir Zakaria dalam satu kenyataan.

Majistret kemudiannya, kata beliau telah menolak permohonan lanjutan reman oleh pihak polis dan Azan Safar telah dibebaskan lewat petang semalam.

Menurutnya, Juham amat terkejut dengan dakwaan pihak polis yang memberikan alasan bahawa tangkapan Azan Safar adalah kerana beliau disyaki terlibat di dalam gerakan untuk menggulingkan kerajaan.

“Lawak jenaka apakah ini apabila mengaitkan tangisan rakyat terhadap kenaikan harga barang dengan gerakan untuk menggulingkan kerajaan?” tanya beliau.

Katanya, Juham percaya Umno dan Barisan Nasional sudah kehabisan alasan untuk menutup kelemahan mereka sehingga menggunakan alasan bodoh sebegini.

Beliau berkata, Juham turut telah mendapat maklumat bahawa akan terdapat beberapa lagi siri tangkapan bersempena perhimpunan 31 Disember ini.

Justeru, tegasnya Juham mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak polis ini yang jelas menafikan hak rakyat untuk bersuara sepertimana yang telah dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Apatah lagi, kata beliau perhimpunan aman ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah sekadar luahan serta tangisan rakyat yang bakal berdepan pelbagai siri kenaikan harga menjelang tahun baru 2014.

 Justeru, ujarnya Juham menggesa agar pihak polis menunjukkan sikap yang bertanggungjawab dengan tidak tunduk kepada tekanan Umno dan Barisan Nasional yang semakin tidak relevan dan telah kehabisan talian hayat.

Selanjutnya,kata beliau Juham menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar tidak khuatir dan gusar dalam bersoladiriti menyuarakan bantahan anda terhadap kezaliman Umno dan Barisan Nasional ini.

Beliau memberitahu, Juham sedia untuk memberikan khidmat guaman secara percuma sekiranya terdapat sebarang tangkapan serta dakwaan yang dibuat.

Katanya, sejarah telah membuktikan bahawa Umno dan Barisan Nasional akhirnya akan akur dengan kehendak rakyat sepertimana pemansuhan Akta Keselamatan Negeri hasil daripada pengorbanan dan penat lelah yang tanpa henti daripada rakyat yang bencikan kezaliman.

“Oleh itu, tunjukkan soladiriti, tekadkan hati. Infiru!” tegasnya.

Sumber Berita Dari Harakahdaily

No comments:

Post a Comment