Sg Limau : BN guna tektik puji Azizan dan kata PAS Syiah....!!

BN guna populariti Azizan raih sokongan di Sungai Limau
Oleh Md Izwan
BN dikatakan guna pendekatan
BN dikatakan guna pendekatan Jentera Barisan Nasional (BN) mengambil pendekatan menumpang populariti bekas Menteri Besar Kedah, allahyarham Tan Sri Azizan Razak untuk meraih sokongan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.
Sungai Limau yang dianggap sebagai kubu kuat PAS sejak 1995 menyebabkan parti pemerintah BN terpaksa menukar taktik "berlembut" pada pilihan raya kali ini.
Hari ini kempen di Sungai Limau secara rasminya membuka tirai selepas selesai penamaan calon pagi semalam.
Tinjauan hari pertama semasa ceramah berkelompok yang berlangsung di pusat daerah mengundi Sungai Limau mendapati penceramah BN memuji dan menghargai ketokohan allahyarham Azizan semasa mentadbir Kedah.

"Kita lihat kebijaksanaan arwah ustaz Azizan hendak tutup pusat hiburan di Alor Setar sebab menghormati bulan Ramadan tapi Karpal Singh dan DAP tentang."
"Ustaz tak melatah tapi cerdik, takpa, boleh on tapi malam sahaja siang tak boleh," kata Pengerusi Tetap Umno Bahagian Pendang, Fuzin Hamid ketika menyampaikan ceramahnya.
Pendekatan BN kali ini dilihat sebagai usaha untuk memancing masyarakat Sungai Limau yang kebanyakannya adalah sanak-saudara kepada bekas menteri besar tersebut.
Kedah semasa di bawah pentadbiran PAS mencetuskan kontroversi dan menerima kritikan hebat terutamanya dalam isu pusat hiburan serta larangan pakaian menjolok mata semasa persembahan sambutan Tahun Baru Cina di negeri tersebut.
Malah penganalisis juga tidak menolak faktor rangkaian kekeluargaan Azizan di Sungai Limau sebagai punca BN gagal merampas DUN itu sejak lima penggal kerusi tersebut disandang PAS.
Sementara itu, isu Syiah juga kedengaran pada kempen kali ini apabila penceramah BN memberi amaran tentang bahaya ajaran tersebut kepada masyarakat Islam-Melayu khususnya di Kedah.
"Kerajaan Kedah berdepan dengan bala yang cukup besar iaitu Syiah."
"Di tempat saya, Pendang ini banyak Syiah. Bila enakmen anti-Syiah dibuat, 9 pemimpin PAS tidak sokong sebab mereka sokong Syiah kot," kata Fuzin.
Ogos lalu, sidang DUN Kedah meluluskan satu undang-undang di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah bagi membolehkan penguatkuasaan diijalankan untuk membanteras ajaran Syiah di negeri itu.
BN kali ini memulakan kempen mereka secara "underdog" apabila mengambil pendekatan bertahan pada PRK Sungai Limau.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang medianya berkata, BN mengakui cabaran besar dihadapi calonnya, Dr Sohaimi Lazim kerana Sungai Limau adalah kubu kuat parti Islam tersebut.
"Cabaran kali ini pasti lebih besar akan dihadapi BN di sini."
"Tetapi kalau perbandingan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, kita tewas dengan majoriti yang tidaklah besar. Jadi tidak mustahil kita melakukan (menang) sesuatu di sini," katanya yang juga Timbalan Presiden Umno itu.
PRK DUN Sungai Limau diadakan berikutan kematian Azizan, yang juga penyandang kerusi itu sejak pilihan raya umum 2004, pada 26 September lalu.
PRK DUN Sungai Limau menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, menentang calon PAS, Mohd Azam Abd Samat, 37.

Sumber Berita Dari Blog KedahLaNie

No comments:

Post a Comment