BANDAR JENGKA: PAS menolak keras beberapa tuntutan Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (Comango) berhubung hak asasi manusia ke Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Geneva, Switzerland yang jelas bercanggah dengan elemen syarak dan budaya setempat.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tuntutan yang ditolak itu adalah berkaitan perlakuan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) supaya golongan tersebut diberikan kebebasan dan hak sama rata.

Namun demikian, Pesuruhjaya PAS Pahang itu menyokong beberapa tuntutan lain dibuat Comango kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu antaranya berkaitan dengan pemuliharaan alam sekitar, pembasmian kemiskinan, keadilan, rasuah dan ekonomi.

“PAS beranggapan tuntutan melampau oleh puak yang membawa budaya kerosakan manusia itu hanyalah berselindung di sebalik hak asasi manusia, maka PAS sama sekali menolak tuntutan berkenaan."

“Dalam Islam ada menggariskan hak asasi tertentu yang tidak melampaui batas, malah kami turut menolak tuntutan lain yang mengetengahkan orientasi kehidupan yang bebas daripada nilai agama dan budaya ketimuran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Kejohanan Liga Futsal Dun Jengka di sini kelmarin (gambar).

Dalam kejohanan yang mendapat sambutan ramai itu,  Pemuda Jengka 12 mucul sebagai juara dan naib johan, Pemuda Jengka Mahkota manakala tempat ketiga, Pemuda Jengka 20.

Menyentuh lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Krau berkata, terdapat beberapa tuntutan lain yang tidak melanggar syarak dan perlu diberi perhatian semua pihak kerana mempunyai elemen positif untuk masyarakat negara ini.

Isu tuntutan Comango baru-baru ini mendapat perhatian ramai apabila dibahaskan oleh beberapa ahli parlimen. Namun ahli-ahli parlimen BN memilih untuk mensensasikan tuntutan negatif sahaja supaya dilihat sebagai juara memperjuangkan Islam.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim memaklumkan bahawa PAS Pahang menghantar 150 petugas tetap pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau, Kedah yang berkhidmat di dua peti undi iaitu Kampung Sungai Limau dan Kampung Sungai Daun.

Katanya, jumlah tersebut tidak termasuk petugas yang dihantar oleh kawasan-kawasan.

Sumber Berita Dari Harakahdaily

No comments:

Post a Comment