JERAI: Muhammad Rafi'ie Azizan, 32, tampil menyatakan bahawa beliau dan seluruh ahli keluarga begitu terguris dengan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berkempen di Sungai Limau pada 26 Oktober lalu.

Beliau yang merupakan anak kelima daripada isteri pertama Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, Muhyiddin tidak wajar mengheret penderitaan ayahandanya sebagai modal politik beliau di sini.

"Kami sekeluarga yang masih bersedih dan masih pilu dengan kehilangan insan yang paling kami sayangi di dunia ini. Air mata kami sekeluarga belum kering mengenangkan ayahanda dan kerinduan kami masih menyelubungi setiap detik yang kami lalui," ujarnya dengan nada sedih.

Bahkan katanya, kehilangan ayahanda terlalu besar buat mereka sekeluarga untuk dijadikan sebagai sandaran dan alasan bagi kenaikan harga gula oleh pihak kerajaan.

"Atas alasan apa sekalipun dalam suasana pilu yang sedang kami sekeluarga hadapi, kami sekeluarga tidak dapat menerima ucapan dan sandaran beliau (Muhyiddin) itu," katanya dalam sidang media bersama pimpinan PAS Kedah di Markas Induk PAS PRK Sungai Limau.

Penegasan ini, katanya dibuat setelah berbincang bersama kedua bondanya serta dipersetujui oleh ahli keluarga beliau.

Muhyiddin menyandarkan keputusan kerajaan mengurangkan subsidi gula dalam Baket 2014 telah mengaitkan keputusan kerajaan tersebut dengan penderitaan Allahyarham, berikutan prosedur pemotongan kedua-dua belah kaki akibat penderitaan penyakit kencing manis.

Tambahnya, umum mengetahui bahawa sanak saudara Allahyarham ayahandanya terdiri daripada penyokong kedua-dua parti samada PAS atau Umno, justeru beliau memohon supaya perasaan dan penderitaan kami sekeluarga dihormati semua pihak.

Rafi'ie juga meminta Muhyiddin agar memohon maaf secara terbuka kepada kedua bondanya, adik beradik serta sanak saudara sama ada yang dekat mahupun jauh yang tersinggung dengan ucapan itu.

Pada hari Muhyiddin berkempen itu adalah genap sebulan Allahyarham Ustaz Tan Sri Azizan kembali ke Rahmatullah.

Sumber Berita Dari Harakahdaily

No comments:

Post a Comment