KUALA LUMPUR: Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak, 69, yang meninggal dunia jam 11.10 pagi tadi di wad ICU Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar sebelum ini dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas mendapat jangkitan kuman di kaki dan menerima rawatan di Kedah Medical Centre (KMC) pada awal Mei lalu.

Bagaimanapun kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong pada 9 Mei lalu di HPP akibat jangkitan kuman.

Hujung bulan lalu, almarhum menunjukkan perkembangan positif apabila doktor mula menukar tiub pernafasan, selain mula bersuara biarpun masih perlahan, bagaimanapun ia mula merosot sejak jam 3.30 pagi, semalam.

Almarhum merupakan Menteri Besar Kedah ke-10 selepas Datuk Seri Mahdzir Khalid selepas PAS dan Pakatan Rakyat berjaya membentuk Kerajaan Negeri Kedah atas kemenangan dalam Pilihan raya Umum ke-12, pada 2008.

Upacara mengangkat sumpah sebagai menteri besar Kedah telah diadakan di hadapan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah di Wisma Darul Aman pada jam 3.40 petang, 9 Mac 2008.

Pada 16 Julai 2008, almarhum telah dikurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Kedah (SPMK) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Pada 1 Jun 2013, almarhum merupakan antara penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang turut membawa gelaran Tan Sri.

Almarhum mula menyertai PAS pada tahun 1978 di England, kemudiannya bergiat aktif di Malaysia pada tahun 1986.

Almarhum pernah diamanahkan sebagai Naib Presiden PAS (2003-2005), Ketua Penerangan PAS Pusat (2001-2003), Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, selain menjadi Pesuruhjaya PAS Kedah (2000 hingga Mei 2013), Setiausaha Perhubungan PAS Kedah dan mewakili PAS ke Majlis Perundingan Ekonomi Negara (Mapen) pada 1989. Almarhum pernah menjadi Pengarah Urusan Harakah.

Almarhum memenangi Dun Sungai Limau (dahulu dikenali sebagai Dun Sala) mulai 1995 hingga 2013 mengalahkan calon Barisan Nasional.

Pada Pilihan raya Umum ke-13 lalu, almarhum menang dengan memperolehi 13,294 undi dengan majoriti 2,774 berbanding tiga lagi pencabarnya dalam pertandingan empat penjuru.

Almarhum mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Limau, selain pernah menuntut di Maktab Mahmud, pada tahun 1959-1965. Almarhum berkelulusan Sarjana Muda Syariah dari Universiti al-Azhar, Mesir dan undang-undang dari Universiti Kent, Canterbury, United Kingdom.

Almarhum pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pensyarah pelawat Mindanao State University, Filipina dan pensyarah sambilan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 1983-1984 dan 1986-1995.

Almarhum meninggalkan dua orang isteri, Puan Sri Faekah Syeikh Hamzah dan dan Shamsiah Shafie dengan 14 orang anak.

Sumber Berita Dari Harakahdaily

No comments:

Post a Comment