KUALA LUMPUR: “Sepanjang hayatnya, umat menyaksikan komitmen beliau yang tinggi dalam perjuangan Islam. Sepanjang hayat tiada istilah rehat bagi beliau, sehinggalah Allah SWT menjemputnya dari ribaan umat,” kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Justeru, kata beliau pemergian bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak sebagai sahabat, guru dan pemimpin adalah satu kehilangan besar buat PAS.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menyanjung tinggi khidmat dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh almarhum sepanjang memimpin PAS di Kedah dan menjadi Menteri Besar pertama daripada PAS.

“Sama-sama kita mengambil ruh semangat Ustaz Azizan yang mendedikasikan hayatnya untuk perjuangan Islam."

“Mudah-mudahan beliau telah membenarkan janjinya kepada Allah SWT. Semoga segala jihadnya diterima oleh Allah SWT,” ujarnya dalam satu kenyataan ringkas.

Beliau kini berada di Lahore, Pakistan bersama Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr. Syed Azman Syed Ahmad bagi menghadiri sidang meja bulat tergempar gerakan Islam sedunia bagi membincangkan isu-isu Ummah terkini terutamanya di Syria dan Mesir.

Turut menyampaikan ucaan takziah kepada keluarga Ustaz Azizan adalah seluruh pimpinan gerakan Islam seperti Amir Jamaat Islami Dr. Munawar Hassan, Sheikh Hammam Saidi dari Ikhwan Jordan dan Dr. Muhamad Nazzal dari Harakah Hamas Palestin yang hadir di sidang meja bulat di Lahore.

Sumber Berita Dari Harakahdaily

No comments:

Post a Comment