KUALA LUMPUR: Tanda Putera merupakan filem yang mempunyai unsur sejarah, tetapi tidak memaparkan sejarah secara keseluruhan, kata Pengerusi Lajnah Kebudayaan dan Kesenian PAS Pusat, Dr Muhaimin Sulam.

Bagaimanapun beliau berkata, sama ada bersetuju atau tidak dengan fakta yang dikemukakan dalam filem tersebut, masyarakat harus menyokong usaha penerbitan filem yang mengangkat nilai sejarah dan memartabatkan akal manusia.

"Nak kata (Tanda Putera) sejarah seratus-peratus pun salah, tiga suku sejarah pun susah nak sebut tapi dia ada nilai sejarah dan kita kena sokong filem yang macam ini daripada filem-filem komedi, hantu, yang aksi mengada-ngada."

"Kita tak suka tafsiran Tanda Putera itu soal lain. Saya sendiri pun tak setuju tapi kita kena sokong filem yang mengangkat martabat akal kita, tidaklah setiap kali buka tv setiap kali itulah kita rasa diperbodoh," katanya.

Beliau berkata demikian dalam forum 'Tanda Putera: Sejarah atau Fitnah?' di Restoran Nasi Kandar Pelita, dekat sini malam tadi.

Forum anjuran bersama Universiti Terbuka Anak Muda dan Sekolah Pemikiran Asy-Syatibi itu turut menampilkan dua lagi ahli panel iaitu Editor Dewan Sastera dan pengkritik filem, Fadli Al-Akiti dan anak kepada Allahyarham Tun Dr Ismail, Tawfik Tun Dr Ismail.

Mengulas lanjut, Muhaimin berkata, filem sejarah tidak akan menjadi filem yang benar-benar memaparkan sejarah sebaliknya merupakan propaganda dan menjadi medium untuk penonton menyokong pihak yang membikin sesuatu filem.

Namun katanya, sebagai orang yang berakal, masyarakat seharusnya tidak bimbang dengan agenda yang dibawa penerbit filem kerana tidak semua fakta dalam filem atau dari buku akan diterima.

"Saya sangat setuju apa yang  disebut bahawa di sebalik nilai seni ada propaganda, ada sesuatu nilai yang nak disampaikan dan itu normal."

"Sebab itu filem terbaru The New Village diminta ditarik balik kerana memaparkan rasa simpati kepada komunis kerana komunis ini musuh nombor satu di negara kita."

"Sama juga dengan Tanda Putera, DAP tak puas hati fasal dalam episod Tanda Putera itu memaparkan seakan-akan DAP ini bertanggungjawab dalam rusuhan 13 Mei, sebaliknya bila kita balik kepada sejarah ia ada banyak versi."

"Ada yang mengatakan 13 Mei ini memang dirancang berlaku. Itu satu pendapat minoriti tapi yang majoriti cakap Gerakan, Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Progresif Rakyat (PPP) tak puas hati dengan keputusan pilihan raya 1969. Kenapa DAP yang dipaparkan, tidak PPP, tidak Gerakan kerana mereka dah sertai Umno," kata pensyarah Di Universiti Teknologi Petronas yang memegang PhD Sejarah dari University of Wales ini.

Ditanya mengenai penggunaan dana kerajaan untuk menerbitkan filem tidak mendatangkan keuntungan, penulis buku 'Mat Indera: Petualang atau Pejuang' ini berkata, projek kesenian dan kebudayaan sangat penting untuk diteruskan di negara ini kerana ia akan membina jiwa dan akal manusia.

"Saya tak setuju kalau buat filem (kerana) nak untung. Projek-projek kebudayaan semuanya merugikan. Saya sebut merugikan kerana saya difahamkan kalau pementasan teater pasti rugi. Kalau kita nak dapat pulangan pelaburan memang tak akan dapat."

"Sebab itu kalau kita ukur keuntungan daripada tiket atau sebagainya dengan projek kebudayaan, ini tak laku. Tetapi ia sangat penting terutama dalam negara yang sedang membangun ini kerana projek-projek kebudayaan, teater, lagu, muzik dan sebagainya adalah satu projek pembinaan taman jiwa, taman akal manusia."

"Perkara ini pasti sebahagian besar kita tak ambil perhatian. Sebab itu saya sokong (projek kebudayaan). Kalau Pas jadi kerajaan pun kita akan beri dana yang lebih dari sekarang."

"PAS bersama Pakatan Rakyat jika diberi mandat pada pilihan raya akan datang, daripada bagi dana kepada rakyat yang terus bergantung hidup pada kerajaan, lebih baik bagi dana bagi penerbit filem," katanya disambut gelak ketawa kira-kira 50 hadirin terdiri dari golongan muda.

Sumber Berita Dari Harakahdaily

No comments:

Post a Comment