Supaya PR kelihatan 'muda dan bertenaga', para pemain utama yang baru perlu untuk PRU14!

Oleh Zulkifli Yahaya

Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin Mesir, Dr. Muhammad Badi'e ditangkap oleh regim tentera pada 20 Ogos 2013 kerana kononnya menghasut ke arah keganasan di Kaherah sehingga lebih 50 orang terbunuh. Dua timbalannya dalam Ikhwan juga ditangkap dan mereka semua didakwa di mahkamah atas tuduhan menganjurkan keganasan.

Dr. Muhammad Badi'e adalah pemimpin kelapan Ikhwanul Muslimin yang asaskan oleh Hassan Al-Banna pada 1928. Badi'e memegang jawatan tersebut sejak 16 Januari 2010 sehingga kini. Lulusan di bidang perubatan veterinar ini adalah nama besar dalam sebuah harakah Islam terbesar dan tertua di dunia iaitu Ikhwanul Muslimin.

Sewaktu demokrasi Mesir dipulihkan selepas regim Hosni Mubarak digulingkan oleh rakyat jelata, Ikhwan menyertai pilihanraya dengan menaja parti Kebebasan dan Keadilan yang dipimpin oleh Dr. Muhammad Morsi. Morsi bukan pemimpin utama Ikhwan, pertama kali dipilih ke parlimen pada tahun 2000 sebagai calon bebas dari proksi Ikhwan. Dalam Ikhwan beliau hanya ahli jawatankuasa pemandu.
Dalam pilihanraya presiden 2012, Morsi ditonjolkan mewakili parti Kebebasan dan Keadilan sekaligus mewakili Ikhwan. Mengapa bukan pemimpin nombor satu Ikhwan, Muhammad Badi'e atau lain-lain pemimpin utama? Memang dari awal mereka tidak sertai politik.

Di samping Ikhwan mempunyai sebab musabab tersendiri mengapa tidak menonjolkan tokoh tertinggi jemaah atau parti untuk bersaing merebut jawatan kerajaan, apa pun ia kelihatan cantik dan rasional. Jawatan politik di mata rakyat perlu memenuhi aspirasi rakyat yang pelbagai. Dalam parti hanya ahli-ahli yang membuat keputusan. Badi'e misalnya, hebat dan teruji berbanding Morsi namun jika sertai pilihanraya belum tentu cukup popular untuk menang.

Tunisia mengalami pengalaman yang sama. Rashid Ghannusi adalah pemimpin ulung parti An-Nahdah yang sehingga kini ia menjadi parti terbesar di Tunisia. Beliau adalah salah seorang pemikir Islam yang terkemuka di dunia, menulis mengenai Islam dan kemodenan, demokrasi dan sekularisme, hubungan antara Timur dan Barat, hak asasi manusia dan masyarakat sivil dan tulisan-tulisannya telah pengaruh ke atas pemikiran politik dan agama di seluruh dunia Arab dan Islam. Beliau telah dinamakan sebagai seorang dari kalangan 100 orang paling berpengaruh di dunia pada tahun 2012. Pernah dihukum penjara seumur hidup serta dibuang negara untuk hidup dalam buangan untuk satu tempoh yang panjang.

Beliau hanya kembali ke Tunisia selepas regim Presiden Zein El-Ebidin Ali ditumbangkan dengan kuasa rakyat. Ramai beranggapan bahawa Ghannusi adalah orang yang paling layak menjadi Presiden atau sekurang-kurang menjadi orang penting dalam kerajaan Tunisia yang dibentuk selepas pilihanraya umum bebas diadakan.

Namun Ghannusi tidak bertanding atau menyertai kerajaan. An-Nahdah menonjolkan Hamadi Jebali iaitu Setiausaha Agong parti itu sebagai Perdana Menteri Tunisia selepas An-Nahdah bersama rakan-rakan pakatannya berjaya membentuk kerajaan. Ghannusi hebat, namun di mata rakyat Jebali selaku graduan bidang kejuruteraan mekanikal dari Universiti Tunis dan sarjana dalam bidang kejuruteraan photovoltaic di Paris, Perancis lebih berwibawa dalam kerajaan. Ghannusi sendiri di samping kekal bersama parti, kelihatan juga menjadi pengkritik bebas kerajaan.

Hamas yang membentuk kerajaan di Palestin juga tidak melantik pemimpin utamanya untuk berada dalam kerajaan. Selepas Syeikh Ahmad Yasin dan Aziz Rantisi syahid dibunuh oleh regim Israel, tiada siapa tahu siapa pemimpin nombor satu Hamas tetapi yang pasti dia bukanlah Ismail Haniyeh yang menjadi Perdana Menteri Palestin.

Senario politik di negara bekas jajahan British tidak begitu. Pemimpin utama parti, jika memenangi pilihanraya biasanya akan mengetuai kerajaan. Di Malaysia 'disiplin' itu langsung tidak pernah terusik (di samping parti yang memerintah juga tidak pernah berubah), Perdana Menteri adalah dari Umno parti yang menjadi tonggak utama BN, manakala para menterinya adalah pemimpin-pemimpin utama parti, termasuk lain-lain parti komponen BN.
 
BN, dahulunya Perikatan, memerintah terlalu lama namun kepimpinannya silih berganti. Malangnya pihak pembangkang (dan sekarang membentuk pakatan) juga menjadi pembangkang terlalu lama di samping tokoh-tokoh yang ditonjolkan bersaing merebut jawatan politik pilihanraya kelihatan tidak berubah. Sekurang-kurang untuk lebih dua dekad PRU barisan kepimpinan utama Pakatan Rakyat (dahulunya Barisan Alternatif) adalah pemain-pemain yang sama. Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Karpal Singh begitu juga beberapa pemimpin PAS - menjadi pemain politik yang sudah terlalu lama (sekadar contoh).

Tokoh-tokoh tersebut tiada masalah untuk terus kekal memimpin parti atau menjadi jurupandu kepada kerajaan yang diperintah oleh Pakatan Rakyat jika berjaya menguasai Putrajaya, namun untuk dibariskan sebagai pemain utama bagi ditawarkan kepada rakyat untuk PRU14 nanti rasanya ia sudah tidak relevan. Citarasa rakyat tidak sama dengan citarasa anggota parti. Rakyat umumnya tidak mahu sebuah gagasan yang tampak 'tua dan laih' (walaupun hakikatnya mungkin tidak begitu.) Pakatan kena mula memikirkan untuk menawarkan kepada rakyat sebuah kepimpinan yang kelihatan 'muda dan bertenaga' bagi menyaingi BN.

Tuan Guru Nik Aziz telah menunjukkan teladan bahawa kerajaan Kelantan boleh untuk dipisahkan dari kepimpinan beliau walaupun sebelum ini sukar untuk ahli-ahli parti menerima kenyataan tersebut. Tiada masalah pun apabila beliau hanya memimpin parti manakala kerajaan dipimpin oleh orang lain. Para pemimpin utama parti komponen Pakatan yang sudah terlalu lama menjadi pemain politik PRU perlu bersedia ke arah itu dalam PRU14 nanti.
 
Untuk menempa kejayaan kadangkala kita kena keluar dari kebiasaan, lebih-lebih lagi kebiasaan yang tidak pernah menunjukkan kejayaan memberangsangkan. 

Kita perlu menawarkan kepada rakyat apa yang menjadi citarasa rakyat, bukannya memaksa citarasa kita untuk diterima rakyat.
 
Sumber Berita Dari Blog KedahLaNie

No comments:

Post a Comment