SPRM DIDAKWA MEMBUAT TUDUHAN PALSU? DEMI POLITIK SEMPIT

SPRM berat sebelah isu GLC Kedah?

Oleh Zulkifli Yahaya



Pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Kedah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes pecah amanah wang syarikat berjumlah lebih RM2 juta untuk menaja dana politik pada PRU-13 lalu.

Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Mohd Jamidan Abdullah berkata, SPRM menerima beberapa aduan dan menjalankan siasatan berhubung penyelewengan wang syarikat bagi dana politik khususnya menjelang PRU-13.

Berita tersebut menjadi tajuk utama akhbar Berita Harian 27 Ogos 2013. Laporan akhbar yang menjadi 'suara' BN itu dipanjangkan dengan menggambarkan bahawa GLC yang dimaksudkan ialah Kedah Corporation Berhad (KCB) anak syarikat kepada Perbadanan Menteri Besar yang pernah dilaporkan mengalami kerugian oleh Ketua Audit Negara semasa di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.

"Pengarah syarikat terbabit mengeluarkan wang syarikat sebanyak RM500 ribu dan dimasukkan ke dalam satu akaun miliknya dipercayai bagi kegunaan peribadi dan kempen parti," Mohd Jamidan menyebutnya secara terang-terangan.

Jika benar GLC yang dimaksudkan itu ialah KCB, maka 'penyelewengan wang bagi dana politik menjelang PRU-13' pastilah merujuk kepada parti politik yang memerintah Kedah, iaitu dari Pakatan Rakyat. Jika ianya masih di peringkat siasatan maka apakah pengarah operasi khas SPRM itu sengaja mempunyai niat busuk terhadap Pakatan di sebalik pendedahan tersebut?

Ia mengingatkan kita kepada isu dakwaan rasuah oleh pihak tertentu terhadap Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berhubung isu agihan 46 ekor lembu korban pada Disember 2008 kepada surau-surau di sekitar Bandar Tun Razak.

Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan mendakwa terdapat asas untuk mendakwa Tan Sri Khalid berhubung isu tersebut. Kenyataan itu memalukan Khalid kerana ia dibuat kerana kononnya ketika siasatan dijalankan, walhal hingga beberapa waktu beliau tidak dapat diheret ke mahkamah kerana memang 'tiada kes' untuk pendakwaan. Lantas Menteri Besar Selangor itu mengemukakan saman malu terhadap Ahmad Said yang akhirnya termonyeh di mahkamah apabila terpaksa membuat kenyataan memohon maaf terhadap Khalid.

Perangai orang kuat SPRM kali ini pun hampir serupa. Sepatutnya lengkapkan dulu siasatan, kalau ada kes dakwa di mahkamah. Biar rakyat tahu butiran dakwaan kesalahan melalui mahkamah bukan dengan membuat kenyataan yang boleh menimbulkan speklulasi jahat terhadap pihak tertentu.

Mengaitkan isu kewangan di KCB dengan dana PRU-13 adalah karut kerana pengurusan KCB telah dibubarkan sejak awal 2010. Ketika itu KCB sudah tidak ada pengarah urusan atau pengarah. Bagaimana wang tersebut digunakan untuk PRU-13 sedangkan pilihanraya berlaku pada Mei 2013, tiga tahun kemudian, manakala individu yang dikaitkan itu telah berpatah arang dengan pemimpin politik kerajaan negeri sehingga menggunakan saluran perundangan mencabar pihak kerajaan negeri untuk menuntut gajinya. Tidaklah salah SPRM menyiasat untuk mencari kebenaran, siasatlah. Tapi apa perlunya mengumumkan latarbelakang siasatan yang boleh mencetuskan spekulasi?

Walhal dalam isu dakwaan penyelewengan yang mengaitkan para pemimpin BN, SPRM tidak pernah mengeluarkan kenyataan serupa. Pemuda PAS Kedah membuat laporan polis selama dua tahun berturut-turut (2011 dan 2012) terhadap dakwaan penyelewengan yang berlaku dalam Syarikat Seri Temin Development Corporation Sdn Bhd (STDC) yang melibatkan wang sejumlah RM7.5 juta di zaman BN dahulu. Kebanyakannya melibatkan sumbangan politik untuk BN Kedah termasuk dana PRU di mana semua dokumennya dapat disahkan. Mengapa SPRM tidak sibuk-sibuk membuat sidang media mendedahkan perkembangan siasatan? Atau memang tidak disiasat pun?

Begitu juga dengan lain-lain dakwaan penyelewengan di zaman BN sehingga kerugian mencecah RM403 juta. Begitu banyak laporan SPRM dan polis dibuat, namun tiada satu pun dakwaan dibuat. Kalau tiada kes pun sekurang-kurang maklumkan kepada rakyat jelata perkembangan mutakhir supaya rakyat tahu SPRM tidak makan gaji buta!

Ketua Audit Negara dalam laporan tahun 2011 pernah bentangkan laporan penyelewengan di Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri Kedah bernilai RM2.55 juta (yang bukan melibatkan orang politik). Sepatutnya kerja SPRM menjadi mudah kerana Jabatan Audit telah melakukan siasatan, namun sehingga kini tiada dakwaan dibuat.

Bekas ADUN Kulim, Lim Soo Nee pernah buat aduan SPRM bahawa beliau cuba dirasuah di sebuah hotel di Pulau Pinang oleh seorang pemimpin BN Kedah supaya melompat parti. Menurut Lim, SPRM sendiri siap memasang kamera sebagai perangkap lalu ke mana perginya hasil siasatan tersebut setelah bukti diperolehi? Sehingga kini SPRM tidak menjawab.


Sepatutnya SPRM bersikap lebih professional. Jangan nampakkan sikap seolah-olah sengaja nak memburukkan sebelah pihak sahaja dan menyepi terhadap pihak lain. Atau kalau terdapat pegawai SPRM cenderung dengan politik BN, letak jawatan dan bergiat sepenuh masa dengan politik. Itu lebih wajar.

Sumber Berita Dari Blog Kedahkini

No comments:

Post a Comment